1 Oktober 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Wanita MCA Senator Dato’ Ong Chong Swen-

Kerajaan digesa menjelaskan isu levi pekerja asing

Dasar kerajaan Pakatan Harapan mengenai pembayaran levi pekerja asing bukan sahaja telah gagal menyelesaikan masalah, tetapi turut mewujudkan lebih banyak masalah sehingga menyebabkan pihak majikan berasa keliru akibat kenyataan-kenyataan bercanggah yang dibuat beberapa kementerian berlainan.

Menteri Sumber Manusia Kulasegaran sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyelaraskan dasar dan pengurusan pekerja asing, dan akan mendapatkan pandangan semua pihak untuk membantu kerajaan membuat keputusan menyeluruh dalam isu tersebut. Akan tetapi, pengumuman tersebut membangkitkan persoalan lebih besar seperti: Pihak manakah yang akan membuat keputusan terakhir? Adakah ia Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, ataupun jawatankuasa bebas tersebut? Kerajaan harus menjelaskan perkara ini.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dasar bayaran levi pekerja asing akan mula dilaksanakan pada 1 Oktober 2018. Kemudian pula, ia diumumkan bahawa sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan Kementerian Sumber Manusia. Jadi, adakah arahan Menteri Kewangan masih berkuat kuasa? Adakah pihak majikan perlu menunggu keputusan Kabinet atau kementerian berkaitan, atau terus melaksanakan bayaran levi RM10,000 bagi setiap pekerja asing yang telah bekerja di sini melebihi 10 tahun?

Ini bukan kali pertama kerajaan membuat kenyataan bercanggah mengenai isu ini. Ia jelas bahawa terdapat kekurangan penyelarasan di antara kementerian-kementerian berkaitan. Ini kerana keputusan Kabinet pada awal lagi mungkin telah digantikan oleh pembentukan jawatankuasa bebas urus pekerja asing.

Ketidakcekapan kerajaan Pakatan Harapan dalam menangani isu ini telah menyebabkan lebih banyak masalah. Seolah-olah kerajaan tidak membuat perancangan baik dan hanya bertindak apabila masalah timbul.

Walaupun Kabinet sekarang dipenuhi menteri-menteri baharu, tetapi beberapa bulan telah berlalu sejak kerajaan baharu ditubuhkan. Menteri-menteri tersebut sepatutnya telah belajar bekerjasama dan menyelaraskan antara satu sama lain untuk mengelak percanggahan kenyataan. Jika masalah ini masih berlangsung, ia hanya akan menyusahkan pihak majikan, dan juga rakyat jelata pada masa hadapan.

-MCA online-