2 Februari 2023

Kenyataan media Jurucakap Pemuda MCA, Lee Yee Yuan

Segera laksana reform intitusi, bukti laungan bukan sekadar cakap kosong

Kerajaan perlu segera meminda perlembangaan atau akta berkaitan bagi meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kuasa Parlimen sekali gus dapat memastikan agensi itu benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pemimpin serta parti politik.

MCA turut berpendapat sekiranya perkara tersebut dilaksanakan, proses siasatan terutamanya kes-kes yang dikaitkan dengan parti pemerintah, dapat dilaksanakan dengan telus tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

Mungkin ini adalah masa terbaik untuk YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa kerajaan di bawah kepimpinannya akan melalui proses reformasi seperti yang dilaungkan ketika menjadi pembangkang suatu ketika dahulu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pernah berkata kesediaan partinya untuk memperkasakan dan 'membebaskan' SPRM sebagai fokus utama sekiranya mereka menjadi kerajaan. Selain akan memberi peruntukan yang besar dan agensi itu diberi sepenuh ruang untuk bertindak.

SPRM yang ketika ini terletak di bawah bidang kuasa perdana menteri seharusnya mampu untuk 'berdiri sendiri' tanpa perlu pengaruh atau campur tangan dari pihak lain.

Sekiranya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah prerogatif Parlimen, dan bukan lagi perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Kita tidak mahu kesilapan lalu berulang kembali apabila PH melantik ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati ramai pihak, seterusnya mewujudkan persepsi bahawa badan bebas itu dipengaruhi oleh parti politik tertentu.

-MCA online-