3 Februari 2023

Kenyataan media Pengerusi Biro Perhubungan Etnik dan Hal-Ehwal Agama MCA, Cally Ting Zhao Song

Kod etika pemakaian : Budi bicara diperlukan ketika kecemasan

Biro Perhubungan Etnik dan Hal-Ehwal Agama MCA amat berterima kasih atas keprihatinan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berhubung isu pemakaian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang tular baru-baru ini.

Menurutnya, tidak munasabah melarang wanita berseluar pendek memasuki balai polis untuk membuat laporan, lebih-lebih lagi ketika kecemasan.

Kami juga berterima kasih kepada bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengatakan bahawa polis tidak seharusnya menghalang orang awam membuat laporan kerana pemakaiannya.

Katanya, polis tidak boleh menghalang sesiapa yang mahu membuat laporan polis kerana itu tugas mereka membantu orang ramai.

Dalam masa sama, kami amat menghargai peranan seluruh anggota keselamatan negara termasuk di IPD Kajang dalam membantu orang ramai khususnya menjaga ketenteraman awam.

Sejak sekian lama, kita sebagai rakyat Malaysia pasti akan patuh kepada peraturan yang dikuatkuasakan. Namun, dalam beberapa situasi, soal budi bicara antara semua pihak itu juga amat penting untuk dipraktikkan.

Diharapkan kejadian seumpama ini tidak lagi berulang di masa hadapan dan semoga isu ini selesai dengan baik tanpa mengaitkannya dengan isu perkauman.

-MCA online-