Pemuda MCA menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar melaksanakan proses reformasi institusi di bawah kepimpinannya seperti yang dilaungkan sewaktu menjadi pembangkang.

Jurucakap Pemuda MCA Lee Yee Yuan berkata Suruhanjaya Pencegahan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri seharusnya mampu untuk “berdiri sendiri” tanpa pengaruh atau campur tangan pihak lain.

“Mungkin ini adalah masa terbaik untuk Anwar membuktikan bahawa kerajaan di bawah kepimpinannya akan melalui proses reformasi seperti yang dilaungkan ketika menjadi pembangkang suatu ketika dahulu.

“Pengerusi PH itu pernah berkata kesediaan partinya untuk memperkasakan dan 'membebaskan' SPRM sebagai fokus utama sekiranya menjadi kerajaan, selain akan memberi peruntukan yang besar dan agensi itu diberi sepenuh ruang untuk bertindak,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu hadir selepas Anwar menafikan dakwaan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin bahawa kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat politik untuk menentang parti itu.

Ia selepas SPRM membekukan akaun parti itu sejak dua minggu lalu bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram.

Lee berkata kerajaan sewajarnya meminda undang-undang berkaitan bagi SPRM diletakkan di bawah bidang kasa Parlimen agar suruhanjaya itu benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin dan parti politik.

“MCA turut berpendapat sekiranya perkara tersebut dilaksanakan, proses siasatan terutamanya kes-kes yang dikaitkan dengan parti pemerintah, dapat dilaksanakan dengan telus tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Sekiranya SPRM diletakkan di bawah parlimen, pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM adalah prerogatif Parlimen, dan bukan lagi perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

"Kita tidak mahu kesilapan lalu berulang kembali apabila PH melantik ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati ramai pihak, seterusnya mewujudkan persepsi bahawa badan bebas itu dipengaruhi oleh parti politik tertentu," katanya lagi.

-Malaysiakini-