MCA hari ini tampil menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail supaya segera mengarahkan polis agar menerima sebarang laporan yang dibuat, tanpa melihat atau mengira pakaian yang dipakai oleh pengadu.

Ketua Wanita MCA Wong You Fong dalam satu kenyataan turut menyeru polis supaya menggunakan akal fikiran dan budi bicara semasa mengendalikan urusan kecemasan.

Kata Wong, bahawa adalah tidak masuk akal bagi polis untuk mewajibkan  orang ramai supaya mencari pakaian yang mematuhi etika dalam kes kecemasan seperti kematian ahli keluarga, mangsa yang dikejar oleh kongsi gelap dan mereka yang terlibat dalam keganasan rumah tangga atau rogol.

“Jelas sekali, mereka dalam kecemasan dan mahu tindakan segera apabila membuat laporan polis kerana cuba mendapatkan bantuan, perkhidmatan dan campur tangan polis untuk menyiasat sesuatu perkara dan jika perlu, untuk menangkap pelaku dan menegakkan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

“Bagi mangsa keganasan rumah tangga, rogol, serangan atau pembakaran, atau jika mereka berlumuran darah atau berpakaian tidur atau telah dilucutkan pakaian mereka, dan bergegas ke balai polis untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan, adakah mangsa-mangsa itu sepatutnya pulang ke rumah, atau terdahulu mandi, bersihkan diri sebelum membuat laporan polis?” soalnya.

Menurut Wong, ciri utama kerajaan ialah keterangkuman dan belas kasihan, dan sehubungan itu mahu Saifuddin meneliti perkara berkenaan sambil menambah bahawa keyakinan terhadap agensi penguatkuasaan diterapkan apabila mereka menjadi mesra rakyat.

“Wanita MCA juga menggesa polis untuk mengambil kira penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pada 2015, yang ketika itu berkata bahawa tiada kod pakaian untuk orang ramai ketika berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan.

"Jadilah penjaga keselamatan dan bukannya penjaga moral," katanya.

Wong berkata demikian ketika mengulas tindakan anggota polis yang menghalang seorang wanita daripada memasuki ibu pejabat polis daerah Kajang di Selangor kerana berseluar pendek.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan, berkata insiden yang berlaku itu tercetus apabila seorang wanita yang ingin membuat laporan kemalangan telah memprovokasi anggota polis. 

Katanya, ini kerana wanita berkenaan tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan masuk kerana memakai pakaian tidak bersesuaian.

- MalaysiaKini-