Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) hari ini menerima persinggahan kapal persiaran antarabangsa pertama setelah dua tahun aktiviti pelayaran antarabangsa dihentikan susulan penularan wabak Covid-19. 

Kapal Spectrum of The Seas milik Royal Carribean Cruises Ltd. (RCCL) yang membawa seramai 3,239 penumpang dan 1,577 kru kapal berlabuh di SPCT, awal pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, beliau amat gembira dengan ketibaan kapal persiaran antarabangsa tersebut di Pulau Pinang kerana manfaat yang akan diberikan kepada industri pelancongan dan industri hiliran di negeri ini.

”Manfaat yang diterima Pulau Pinang dengan kehadiran kapal persiaran antarabangsa ini adalah besar dan mampu memeriahkan lagi suasana Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pelancongan, bukan sekadar di peringkat domestik, malah di peringkat antarabangsa. 

”Persinggahan Spectrum of the Seas kali ini merupakan titik tolak bagi persinggahan kapal-kapal persiaran antarabangsa lain pada masa depan

“Kapal Spectrum of the Seas itu sendiri akan berlabuh di Pulau Pinang dua kali seminggu,” katanya ketika menyambut ketibaan pelancong yang menaiki kapal persiaran Spectrum of The Seas di SPCT, di sini hari ini.

Sambutan ketibaan tersebut turut disertai oleh Pengurus Besar SPPP, Monaliza Suhaimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), Datuk Sasedharan Vasudevan.

Menurut beliau, pihaknya juga amat berpuas hati dengan persediaan yang dilaksanakan bagi menyambut ketibaan kapal persiaran tersebut.

"Kami juga berbesar hati dengan kesudian Penang Global Tourism (PGT) yang mengadakan persembahan bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut dan kesudian PPSB yang menyediakan cenderahati kepada penumpang kapal Spectrum of The Seas,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha menjayakan sambutan ketibaan kapal persiaran tersebut di SPCT. 

”Kami juga mengalu-alukan ketibaan penumpang kapal tersebut dan berharap mereka akan kembali mengunjungi Pulau Pinang pada masa  depan,” katanya.

–Utusan Online -