Biro Pelancongan MCA menzahirkan rasa simpati dan dukacita berhubung dua kejadian di mana dua warga asing maut di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada hari yang sama minggu lepas. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

Kedua-dua tragedi ini yang berlaku berturut-turut dalam jangka masa singkat amat membimbangkan, dan menyerlahkan kelemahan keselamatan di dalam kawasan lapangan terbang negara. Sementara proses siasatan masih dijalankan, pihak yang berkaitan haruslah menjalankan kajian menyeluruh dan telus terhadap infrastruktur keselamatan yang sedia ada, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti ruang awam di tingkat yang tinggi. Langkah-langkah segera perlu diambil untuk memastikan keselamatan, seperti peletakan penghadang, sistem pengawasan dan juga ciri reka bentuk pencegahan.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) juga harus diperkukuhkan bagi kakitangan keselamatan dan petugas barisan hadapan. Protokol yang jelas, tindakan yang cepat, dan penguatkuasaan yang konsisten penting untuk mengenalpasti potensi risiko bagi mengelak berlakunya mana-mana tragedi.
Penilaian risiko yang pantas dan mengenal pasti prosedur atau langkah yang perlu diambil serta-merta sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Disamping itu, latihan yang sesuai juga harus diterapkan untuk memastikan semua kakitangan berkenaan bersiap sedia mengendalikan kecemasan dan menjaga keselamatan awam.

Ditekankan, lapangan terbang merupakan pintu masuk utama ke Malaysia, di mana berjuta-juta penumpang mengggunakannya setiap tahun. Gambaran awal di setiap pintu masuk ini amat penting. Selain memberi fokus kepada kecekapan dan kemudahan, kita juga harus memastikan setiap pelancong ke sini yakin terhadap keselamatan diri mereka. Oleh itu, kegagalan menangani tragedi seperti ini sudah tentu akan menjejaskan keyakinan pelancong terhadap lapangan terbang negara, dan secara langsung, industri pelancongan Malaysia.

Justeru itu, Biro Pelancongan MCA menggesa pihak berkuasa untuk bersikap telus dan bertanggungjawab kepada rakyat, dengan menyampaikan maklumat secara jelas dan tepat. Pada masa sama, mereka juga harus prihatin dengan sensitiviti keluarga mangsa dalam mendedahkan maklumat tersebut. Ini akan mengekang sebarang spekulasi dan pada masa sama mengukuhkan kepercayaan rakyat.

Biro Pelancongan MCA menyarankan agar audit keselamatan yang komprehensif dijalankan bukan sahaja di Terminal 1 dan 2 KLIA, tetapi juga di semua lapangan terbang dalam negara. Ditekankan, langkah pencegahan harus menjadi fokus utama bagi menjamin keselamatan awam.

Selain memastikan kecekapan perkhidmatan, keselamatan setiap penumpang dan pengguna di lapangan terbang juga harus sentiasa diutamakan.

Lawrence Chiew Kai Heng
Biro Pelancongan MCA
4 Mei 2026