Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen setiap kilowat per jam (kWj) berkuat kuasa kelmarin, disifatkan sebagai tindakan ‘menikam belakang’ rakyat, memandangkan Pakatan Harapan sebelum ini berjanji mahu mengurangkan kos hidup rakyat.

Naib Presiden MCA, Datin Chew Mei Fun berkata, penamatan pemberian rebat itu bererti peningkatan harga elektrik di negara ini dan berpotensi menaikkan bil elektrik isi rumah antara tiga peratus hingga enam peratus.

Malah dakwanya, kerajaan seolah-olah cuba mengelirukan pengguna apabila pengumuman yang itu dibuat kononnya dikenakan terhadap sektor komersial sahaja.

“Ini merupakan tindakan tikam belakang yang jelas oleh kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini bersungguh-sungguh berjanji mahu mengatasi isu peningkatan kos hidup rakyat.

“Banyak perkara di bawah Janji 100 Hari mereka telah ditangguhkan termasuk melalui keputusan pusingan U. Ini sekali gus menunjukkan kebanyakan janji mereka sebelum pilihan raya adalah tidak praktikal dan populis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berkuat kuasa pada 1 Julai, pengguna bukan domestik tidak lagi mendapat rebat sebanyak RM1.52 sen setiap kWj dan pada masa yang sama, perlu membayar surcaj Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.35 sen setiap kWj.

Sementara itu, pengguna domestik atau isi rumah melebihi 300 kWj tidak lagi menikmati rebat RM1.52 sen setiap kWj.

– UTUSAN ONLINE