4 Julai 2018

Kenyataan Media Setiausaha Agung Pemuda MCA Dato’ Leong Kim Soon

Empat isu pendidikan wajar diberi keutamaan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching

Pemuda MCA mengucapkan tahniah kepada ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, dan ingin mengingatkan beliau mengenai janji-janji yang dibuatnya sebelum PRU14.

Portfolio Timbalan Menteri Pendidikan adalah sebuah tanggungjawab yang besar, dan Pemuda MCA mengharapkan beliau akan memberi perhatian kepada isu-isu pendidikan, khususnya pendidikan Cina, dan akan melaksanakan kesemua janjinya kepada masyarakat Cina.

Pemuda MCA telah menyeneraikan 4 isu pendidikan yang harus diberi perhatian oleh YB Teo Nie Ching, dan menggesa beliau memastikan isu-isu tersebut diselesaikan dan tidak diketepikan.

Isu-isu tersebut adalah:

1.    Projek 10+6 SJKC baharu dan dipindahkan

YB Teo disaran memastikan bahawa kesemua 10 SJKC baharu akan dibina, dan 6 SJKC akan dipindah sepertimana yang dirancangkan semasa pentadbiran kerajaan BN sebelum ini demi manfaat rakyat

2.    Sekolah Wawasan

YB Teo harus menjelaskan visi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membangunkan Sekolah Wawasan, dan kesan-kesannya terhadap pendidikan Cina.

3.    Kelas komputer untuk SJKC

YB Teo digesa menyelaras di antara ibubapa, pihak sekolah dan Dong Jiao Zong untuk menyelesaikan masalah-masalah mengenai operasi harian SJKC.

4.    Pengiktirafan UEC 

Pada 7 April 2018, Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan Lim Guan Eng berjanji membantu MCA mencapai pengiktirafan UEC. Beliau juga berjanji mengiktiraf UEC di sekolah-sekolah persendirian Cina dalam tempoh 30 hari jika Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat. YB Teo juga pernah merakamkan satu video di mana beliau turut berjanji mengiktiraf UEC tanpa syarat jika DAP menjadi kerajaan pusat.

Pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pendidikan telah memberi peluang kepadanya untuk melaksanakan janji-janjinya. Kini sudah tiba masanya DAP mengotakan janjinya untuk mengiktiraf UEC dalam tempoh 30 hari.

Ini adalah tanggungjawab Kementerian Pendidikan yang harus ditunaikan YB Teo. Beliau tidak patut membuat pusingan U, atau memberi alasan untuk tidak melaksanakan janji-janji yang dibuat DAP. Masyarakat Cina akan memantau DAP untuk memastikan bahawa ia melaksanakan tanggungjawabnya selepas diberi mandat rakyat.

Dato’ Leong Kim Soon
Setiausaha Agung Pemuda MCA

-MCA Online-