MCA ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana cakna serta memberi maklum balas pantas terhadap isu kos kenaikan sara hidup pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Sebagaimana kenyataan media semalam, 4 Julai 2022, KPT bersetuju melaksana moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai bulan ini kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Selain itu, KPT juga bersetuju dengan cadangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk membentuk Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang dipengerusikan oleh Menterinya, Dr. Noraini Ahmad.

Semoga pelaksanaan kaedah ini dapat meringankan beban para pelajar dan tidak memberi kesan kepada sesi pembelajaran dan pengajaran mereka.

Selain itu, MCA turut menyambut baik langkah kerajaan untuk memperkenalkan 'Menu Keluarga Malaysia' di restoran koperasi, kafeteria serta premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif kepada mereka untuk mendapatkan makanan pada harga berpatutan.

MCA berharap agar pelaksanaannya dapat dilakukan dalam kadar segera supaya langkah meringankan beban pelajar dapat diambil diperingkat awal dan tidak mahu kesengsaraan mereka berlanjutan dalam tempoh yang lama.

Para pelajar ini masih diperingkat pengajian dan tidak mempunyai pendapatan tetap, bahkan lebih memberi kesan kepada mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Oleh kerana itu mereka amat memerlukan harga rendah yang ditawarkan di kantin dan kafeteria untuk membeli makanan.

MCA turut berharap agar isu kenaikan kos harga barangan ini tidak dipolitikkan kerana ia melibatkan faktor global dan domestik serta harga minyak mentah serta gas asli yang lebih mahal di seluruh dunia.

Sebaliknya semua pihak tidak mengira fahaman politik perlu berganding bahu dan saling membantu khususnya para pelajar dalam mengharungi waktu sukar ini.

Jangan jadikan mahasiswa sebagai alat politik untuk mencapai agenda sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, MCA yakin jalan penyelesaian dan kaedah bersesuaian sedang dirangka seterusnya akan dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini, bukan sahaja untuk kebaikan golongan pelajar IPT malah untuk semua Keluarga Malaysia.

MCA menerusi Pemuda MCA dan Kelab Mahasiswa MCA akan terus memainkan peranan serta membantu kerajaan demi kepentingan rakyat khususnya melibatkan golongan muda dan para pelajar.

Setiausaha Agung Pemuda MCA
Daniel Wa Wai How
5 Julai 2022

- MCA Online