5 September 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Projek Forest City: Kenyataan PM mungkin menghalau pelabur asing, jejaskan ekonomi negara

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir digesa berhenti menukarkan pendiriannya mengenai pembelian hartanah Forest City Johor oleh pelabur asing. Ini jelas satu diskriminasi yang mampu menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Kenyataan awal Perdana Menteri yang menghalang pelabur asing membeli rumah di projek Forest City Johor telah menyebabkan reaksi negatif. Pada hari seterusnya, Pejabat Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan penjelasan bahawa warga asing boleh membeli hartanah di sini tetapi tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Akan tetapi, beberapa hari kemudian, Tun Mahathir sekali lagi mencetus kontroversi apabila menyatakan bahawa warga asing “boleh beli, tetapi tidak boleh tinggal.”

Apakah sebenarnya pendirian Perdana Menteri? Mengikut logik beliau, adakah warga asing dari China membeli hartanah di sini untuk tinggal atau disewa? Lebih-lebih lagi, isu pemberian kewarganegaraan dan isu pelaburan adalah dua isu berbeza. Akan tetapi, beliau mendakwa bahawa kaum Bumiputera terpaksa berpindah ke pinggir hutan jika warga China datang ke Malaysia.  Tindakan Tun Mahathir ini bakal mencetuskan ketakutan, dan menghasut kebencian rakyat terhadap warga asing.

Adakah ini satu taktik Perdana Menteri untuk menjustifikasi pelaksanakan semula sistem kuota yang akan menyekat pasaran Malaysia? Apa terjadi kepada janji Pakatan Harapan untuk melaksanakan urus tadbir baik dan mengutamakan rakyat?  

Tindakan kerajaan menyebarkan ketakutan terhadap pelabur asing akan menjejaskan hubungan dan pelaburan dari negara tersebut, terutamanya untuk negeri Johor.

Jika sebelum ini DAP berani menyuarakan bantahan, hari ini pula mereka hanya mendiamkan diri, dan membenarkan Perdana Menteri membuat kenyataan mengikut suka hatinya. Ini secara langsung menjatuhkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan terbuka kepada pelaburan asing.

Pihak kerajaan disaran berhenti bermain dengan api, kerana ia mampu menjejaskan kebajikan rakyat dan membantut pertumbuhan ekonomi negara.

Nicole Wong Siaw Ting
Naib Pengerusi Pemuda MCA

-MCA online-