Peningkatan kes penyakit Tibi (TB) dan kebimbangan terhadap potensi penularan Virus Nipah wajar diberi perhatian serius kerana kedua-duanya membawa implikasi besar terhadap keselamatan kesihatan awam negara.

Pastinya kita tidak mahu sejarah Mac 2020 kembali berulang, apabila negara terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Bukan sahaja nyawa terkorban, tetapi ekonomi negara juga terjejas teruk akibat wabak penyakit berjangkit ini. 36,967 kes kematian akibat COVID-19 bagi tempoh 2020 hingga 10 Mac 2023 dengan ekonomi yang menguncup −5.6% pada tahun 2020, kemelesetan paling teruk sejak Krisis Kewangan Asia 1998, pastinya mengajar kita banyak perkara. Jika saiz ekonomi Malaysia (GDP) pada tahun 2019 adalah sekitar RM1.51 trilion, ekonomi susut −5.6% pada tahun 2020, maka ia adalah bersamaan RM84 bilion, sesuatu yang merugikan negara.

Ini bukan soal wabak itu kecil atau besar semata-mata, tetapi apa yang ebih penting ialah bagaimana kerajaan menanganinya. Wang ringgit mungkin boleh dicari, tetapi apa yang lebih penting ialah kesihatan dan nyawa rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, tahniah wajar diucapkan kepada kerajaan Negeri Johor kerana bertindak pantas dalam mengekang penularan tibi ini. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, langkah proaktif diambil Jabatan Kesihatan Johor selepas kluster tibi muncul di daerah itu pada 25 Januari 2026.

Penduduk yang disahkan positif tibi menjalani kuarantin di rumah selain diberikan rawatan perubatan, termasuk ubat-ubatan. Pendekatan yang diperlukan oleh rakyat ialah kerajaan hadir ketika mereka susah dan hulurkan bantuan ketika mereka memerlukan. Ini penting agar rakyat tidak terasa disisihkan ketika menghadapi sebarang musibah.

Dalam hal ini secara holistik, sama ada kes tibi, Virus Nipah atau apa jua penyakit berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memperluas saringan dan pengesanan awal, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti penempatan padat, pusat tahanan, asrama pekerja dan komuniti rentan. Pemantauan kontak rapat perlu diperkasakan bagi membentung penularan pada peringkat awal.

Kerajaan juga perlu melaksanakan pendidikan dan kempen kesedaran awam yang mudah difahami bagi memastikan orang ramai peka terhadap simptom awal, cara jangkitan dan rawatan awal. Mereka perlu dididik untuk tidak melengahkan masa bagi mendapatkan rawatan segera sekiranya terdapat simptom-simptom penyakit yang mencurigakan.

Bagi Virus Nipah pula, kerajaan perlu mempertingkatkan kerjasama antara kementerian berkaitan dalam pemantauan haiwan pembawa seperti kelawar dan ternakan. Langkah ini perlu kerana virus ini boleh merebak kepada manusia melalui haiwan liar dan ternakan selain berupaya menular antara manusia.

Kesiapsagaan sistem kesihatan juga perlu dipertingkatkan melalui latihan berkala kepada petugas kesihatan, penambahan kapasiti makmal dan kemudahan isolasi, serta penyediaan peralatan perlindungan diri yang mencukupi.

MCA sedar ancaman penyakit berjangkit seperti tibi dan Virus Nipah ini tidak boleh ditangani dalam masa singkat dan memerlukan pemantauan serta pemeriksaan berkala. Ia turut memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk pencegahan awal, kerjasama pelbagai pihak dan penglibatan masyarakat.

Datuk Ir. Lawrence Low
Naib Presiden MCA
6 Februari 2026