
Badan beruniform atau mana-mana penguatkuasa yang berkhidmat sebagai penjawat awam tidak seharusnya diperalatkan pihak tertentu untuk dijadikan senjata politik.
Benar, sebagai penjawat awam kita wajib menyokong dan berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah (government of the day). Tetapi ini tidak bermakna mana-mana yang berkuasa dalam kerajaan boleh memperalatkan penjawat awam sesuka hati demi kepentingan politik. Dalam masa sama kita kena ingat bahawa penjawat awam perlu berpegang kepada prinsip berkecuali, profesional dan segala tindak tanduk adalah bersandarkan kepada kedaulatan undang-undang.
Sejak kebelakangan ini, rakyat melihat ada yang tidak kena dalam kerajaan Madani, khususnya melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya adalah orang pertama dan selama-lamanya akan berada di hadapan bagi menyokong SPRM membanteras rasuah, penyelewengan kuasa dan apa jua kesalahan jenayah. Namun ia hendaklah bersifat telus, adil dan apa jua siasatan tidak dibuat secara terpilih.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh James Chai, seorang pemuda terpelajar yang mendakwa dirinya menjadi sasaran Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki seharusnya membuka mata semua pihak. James mengatakan, beliau diburu SPRM hanya kerana beliau ada kaitan dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli kerana beliau sebelum ini bekerja dengan Rafizi. Sedia maklum, Rafizi kini sedang bermusuhan dengan Anwar Ibrahim. Ini menunjukkan seolah-olah SPRM dijadikan alat untuk melawan Rafizi dan orang sekelilingnya. Jika ia benar, maka ini adalah sesuatu yang amat memalukan negara.
Justeru kami menyeru pihak berkuasa agar menjalankan semua siasatan dengan penuh ketelusan, mematuhi proses sewajarnya serta menghormati hak dan maruah semua pihak yang terlibat. Rakyat mesti diyakinkan bahawa jentera negara tidak akan digunakan sebagai alat untuk menakut-nakutkan sesiapa, demi kepentingan politik segelintir pihak.
Datuk Ir Lawrence Low
Naib Presiden MCA
6 Mac 2026