Saya meminta Ketua Pemuda Sosialis DAP Howard Lee Chuan How cermin diri sebelum membidas orang lain, janganlah kerana hendak menolong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sampai sanggup melakukan apa sahaja. Saya mahu beliau berhenti memainkan politik kotor dan insaf bahawa matlamat utama rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai ini adalah untuk mengekang kebongkakan kuasa Perdana Menteri serta PPBM. 

Nyata Chuan How sengaja membutakan mata terhadap amalan Pakatan Harapan meluluskan projek secara rundingan terus, sebaliknya tergamak memilih PRK Tanjung Piai untuk bersubahat dengan PPBM dalam memfitnah calon Barisan Nasional Wee Jeck Seng.

Jeck Seng tidak pernah cuba mengelak dari isu VEP, malah sudah mengeluarkan kenyataan memberikan segala butiran berkenaan. Jika Chuan How masih tidak memahami hujung pangkalnya, saya meminta beliau membaca sampai habis Laporan Ketua Audit Negara 2017, yang menyatakan dengan jelas, syarikat yang mendapat tender mempunyai modal melebihi RM3 juta. Malah Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sudah memberi amaran supaya isu ini tidak digunakan oleh mana-mana parti politik dalam PRK ini. 

Jelas sekali Chuan How tidak pernah membacanya. Sebagai seorang anggota Exco, beliau wajar menampilkan standard yang tinggi sedikit, bukannya bertindak melulu tanpa usul periksa.

Sekiranya logik Chuan How boleh diterima pakai, maka Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga mesti membersihkan namanya daripada skandal terowong dasar laut serta pembelian banglo dengan harga murahnya sebelum layak dilantik sebagai menteri.

Suruhanjara Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri turut terkejut dengan penarikan balik secara tiba-tiba dakwaan ke atas Guan Eng berhubung kes banglonya. Di manakah Chuan How ketika itu?

Perlu diingatkan, Guan Eng dalam samannya terhadap bekas pemangku Ketua Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang Jason Loo berhubung penjualan tanah di Jalan Peel, pernah mengatakan kerajaan Pulau Pinang tidak menjalankan tender terbuka kerana Island Hospital Sdn Bhd membuat pelaburan besar. Ketika Guan Eng berkuasa, bukan semua transaksi tanah melalui tender terbuka, contohnya penjualan tanah kepada Ikea tidak melibatkan tender terbuka.

Oleh itu, pemimpin DAP itu diingatkan supaya jangan mengaburi isu. Hasrat utama rakyat dalam PRK kali ini adalah mengimbangi kebongkakan kuasa Dr. Mahathir dan PPBM. Kenapa Chuan How mesti memusuhi rakyat dan bersekongkol dengan Dr Mahathir dan PPBM dalam mengkhianati masyarakat kita?

18 bulan sudah berlalu setelah Pakatan Harapan berkuasa, hidup seharian menjadi semakin susah. Tidak malukah Chuan How terus-menerus menyalahkan kerajaan lama? Kejatuhan saham, harga komoditi utama dan ringgit, ditambah dengan kenaikan harga barang, PH tidak pernah mengambil peduli, atau menginsafi diri, sebaliknya terus membuat pelbagai helah untuk memfitnah BN.

Krisis utama negara sekarang ialah, PPBM terus dengan tindakan rasisnya. Tindakan PH mengadakan Kongres Maruah Melayu melalui 4 buah universiti awam tidak berani dibantah DAP. Malah Guan Eng dalam Konvensyen DAP Johor turut mengeluarkan kenyataan bersifat rasis dan menakut-nakutkan. Jadi apa kelayakan DAP dan Pemuda Sosialisnya membicarakan kepelbagaian dan keterbukaan? Ia amat keji apabila sesebuah kerajaan yang mempunyai kuasa dan sumber, tergamak memancing undi melalui pembakaran sentimen perkauman serta taktik menakut-nakutkan orang ramai.


Memandangkan Pengerusi PAC telah mengeluarkan kenyataan bahawa penggunaan isu VEP sebagai bahan kempen adalah menyalahi undang-undang Parlimen, Chuan How wajarlah menghormati kedaulatan undang-undang dan segera menghentikan fitnahnya agar tidak terkena tindakan pihak berwajib.