Liow Tiong Lai Sambut Baik Keputusan Guna Semula Laluan Asal ECRL
Industri rel sasar guna 45 peratus kandungan tempatan  

Pantau lambakan cecair pembasmi kuman di pasaran

Pada Rabu    07-04-2021 12:49:00

Lambakan berpuluh jenama cecair pembasmi kuman di pasaran diragui keberkesanannya sehingga menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

Selain teksturnya yang diragui, terdapat juga cecair pembasmi kuman yang tidak mempunyai label 'ramuan' atau nombor pendaftaran di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor ketika mendedahkan perkara itu berkata, biro pemantauan polisi kerajaan parti berkenaan menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menyuarakan kegusaran mengenai perkara terbabit.

Ketua Koordinasi Biro Pemantauan Polisi Kerajaan MCA, Dr Wong Kok Fye berkata, susulan itu, pihaknya menjalankan pemantauan di beberapa pasar raya dan restoran di sekitar Selangor bagi meninjau mengenai penjualan cecair pembasmi kuman.

Hasil tinjauan itu, beliau berkata, sebanyak 93 peratus daripada 59 jenama cecair pembasmi kuman yang diperiksa tidak ditemui nombor pendaftaran melalui pemeriksaan di Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

"Sepatutnya cecair pembasmi kuman yang dijual di pasaran perlu mendapatkan kelulusan KKM dengan produk perlu didaftarkan dengan NPRA.

"Ia adalah dapatan daripada hasil tinjauan kami membabitkan keseluruhan 72 jenis cecair pembasmi kuman termasuk 13 yang diisi semula, sekali gus menunjukkan terlalu banyak jenama di pasaran.

"Ada yang tiada label, tidak diketahui ramuannya dan keberkesanannya juga diragukan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr Kok Fye berkata, pihaknya turut mendapati terdapat penjual yang mengambil kesempatan dengan hanya meletakkan air, air sabun atau alkohol yang dicairkan sebagai cecair pembasmi kuman.

Beliau berkata, melalui tinjauan yang sama, 32 peratus tidak diketahui ramuannya dan sembilan peratus produk cecair pembasmi kuman tidak mempunyai bahan alkohol.

"Sepatutnya mengikut garis panduan KKM, cecair pembasmi kuman perlu sekurang-kurangnya mengandungi 60 peratus alkohol," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor, Datuk Leong Kok Wee, berkata pihaknya menggesa kerajaan meningkatkan penguatkuasaan dengan memantau lambakan jualan cecair pembasmi kuman di pasaran yang diragui keasliannya.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima aduan orang awam yang mengadu menerima kesan sampingan seperti kegatalan dan tangan menjadi kasar akibat cecair pembasmi kuman yang didapati di pasaran.

"Kita berharap kerajaan dapat meningkatkan penguatkuasaan dalam memastikan hanya cecair pembasmi kuman yang mendapat kelulusan KKM boleh dijual di pasaran," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga disaran mengawal harga cecair pembasmi kuman seperti mana pelitup muka kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjualnya pada harga tinggi.

"Ketika melakukan tinjauan ini, kita terkejut kerana ada cecair pembasmi kuman yang dijual pada harga RM10 dalam botol kecil kurang daripada 50 mililiter (ml).

"Selain itu, kita juga mahu pengguna memainkan peranan dengan hanya memberi cecair pembasmi kuman yang diluluskan KKM dan memeriksa maklumat produk di laman web NPRA," katanya.

-Berita Harian-

Berita Berkatian

Tiada