Lima keluarga di Rancangan Perumahan Awam (RPA) 3 Lawan Kuda Baru di sini yang kediaman mereka rosak dalam kejadian ribut Ahad lalu menerima bantuan.

Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting berkata, pasukan MCA Gopeng bersama Barisan Nasional (BN) Parlimen Gopeng telah menyantuni keluarga mangsa kelmarin.

Menurut beliau, setiap keluarga menerima bantuan kecemasan RM100 bagi meringankan beban kos pembaikan.

“Sebaik menerima aduan kejadian, pihak kami segera ke lokasi tersebut bagi melihat keadaan penduduk serta kerosakan yang berlaku.

“Angin ribut menyebabkan kepingan atap rumah penduduk diterbang angin, menyebabkan kerosakan dan ia memerlukan pembaikan segera,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Cally, pihaknya juga telah menghubungi Pejabat Penghulu Mukim Gopeng bagi memohon bantuan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa.

Katanya, tanpa mengira latar belakang penduduk pihaknya akan menangani permasalahan komuniti atas rasa tanggungjawab.

“Dalam pada itu pada penduduk yang mempunyai masalah boleh menghubungi Hotline Pejabat Penyelaras MCA Parlimen Gopeng menerusi talian 016-5605125,” ujarnya.

– KOSMO! ONLINE