7 Julai 2022

Kenyataan media Jurucakap MCA, Sdri. Saw Yee Fung

Tragedi banjir di Baling: MCA gesa siasatan yang telus dan tindakan tegas dilakukan

Banjir lumpur yang melanda Baling beberapa hari lepas amat menyedihkan. Setakat ini, lebih 1,400 penduduk dari lima kampung di kawasan Baling telah terjejas dan tiga nyawa sudah terkorban. Banyak kediaman, harta benda dan mata pencarian penduduk telah terjejas.

Bertubi-tubi rasanya tragedi banjir melanda rakyat Malaysia dalam tahun belakangan ini.  Pada hujung Disember 2021, banjir teruk melanda Telemong, Pahang melibatkan hampir 3,000 mangsa. Sebelum itu, banjir di kaki Gunung Jerai, Yan pada Ogos 2021 telah meragut enam nyawa dan menjejaskan 2,000 penduduknya.

MCA turut bersimpati dengan tragedi yang menimpa rakyat Kedah, apatah lagi hanya seminggu sebelum Hari Raya Aidil Adha. Banjir yang berlaku di Baling ini turut merobohkan jambatan yang menghubungkan kampung di Sungai Iboi dan menyebabkan jalan utama terputus hubungan.

Berita hari ini pula melaporkan bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru melakukan tinjauan udara bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapati tiada pecahan tandak takungan sebagai fenomena kepala air yang didakwa menyebabkan banjir teruk di Baling sebelum ini.

Sebaliknya, tinjauan menggunakan helikopter mendapati wujudnya begitu banyak lorong laluan berlumpur di serata Gunung Inas dan kawasan penanaman durian Musang King. Akan tetapi, sebelum ini, Sanusi mendakwa bahawa projek durian Musang King di Gunung Inas bukanlah penyebab utama berlakunya tragedi tersebut. 

Justeru, kami menggesa semua pihak terbabit untuk menjalankan siasatan yang telus terhadap tragedi yang melanda rakyat Baling ini.

Sudah pasti kita tidak mahu berkompromi sekiranya telah berlaku sebarang kegiatan haram melibatkan projek yang dijalankan tanpa perancangan dan pemantauan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta orang kampung.

Kita juga tidak mahu tragedi seperti ini berulang lagi.

-MCA online-