
1. Saya terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Pahang, YAB Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengatakan "lebih mudah berurusan dengan DAP berbanding MCA." Kenyataan ini secara jelas membandingkan antara MCA dan DAP serta memberi tanggapan negatif terhadap MCA.
2. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, apa mesej yang hendak YAB Datuk Seri Wan Rosdy sampaikan?
3. Untuk lebih adil, YAB Datuk Seri Wan Rosdy perlu memperincikan apa yang "sukar berurusan dengan MCA"? Berkenaan urusan atau isu apa dan siapa? Ini penting supaya kami khususnya MCA Pahang dapat mengetahui secara jelas apa yang dimaksudkan.
4. Dalam masa sama, lebih baik sekiranya YAB MB dapat memperincikan tentang nasihat DAP berkenaan ketirisan seperti mana yang disebut? Adakah sebab mereka mengaku salah kerana tohmahan terhadap kilang Lynas dan Benteng Tembok Besar China di Kuantan?
5. Sebagai rakan komponen BN, MCA Pahang terus bekerja keras demi kepentingan rakyat dan berusaha mengembalikan sokongan masyarakat khususnya orang Cina untuk kembali menyokong BN, disamping mempertahankan ideologi parti yang moderat dan tidak ekstrem.
6. Selebihnya saya serahkan kepada masyarakat menilai sendiri antara MCA dan DAP.
Datuk Chong Sin Woon
Pengerusi MCA Pahang
8 Januari 2026