
Pemergian mendiang Tun Dr. Ling Liong Sik pada Sabtu lalu merupakan satu kehilangan yang amat dirasai, bukan sahaja oleh keluarga dan ahli parti, malah tokoh, pemimpin negara serta masyarakat turut merasainya.
Sejak hari pertama berita duka ini diterima, barisan kepimpinan tertinggi MCA telah berganding bahu memastikan segala urusan penghormatan terakhir mendiang berjalan dengan penuh tertib sehingga ke upacara pengebumiannya hari ini. Ia mencerminkan betapa besar jasa dan kedudukan beliau dalam diri ahli parti MCA.
Sepanjang tempoh tersebut, ramai tokoh dan pemimpin negara hadir memberikan penghormatan terakhir serta berkongsi kenangan bersama Tun Dr. Ling.
Antara yang hadir ialah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Tun Dr. Ling merupakan anak watan Kuala Kangsar, Perak. Keberangkatan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan mencemar duli memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tun Dr. Ling ini membuktikan hubungan baiknya dengan kerabat Diraja Perak yang sememangnya berjiwa rakyat.
Tun Dr. Ling juga memainkan peranan penting dalam penubuhan kampus Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), dengan mendapatkan kelulusan kerajaan untuk sebidang tanah di Kampar, Perak yang kini merupakan kampus utama UTAR. Penubuhan UTAR ini juga mendapat perkenan dan sokongan penuh daripada ayahanda Sultan Nazrin Muizzuddin Shah iaitu Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Antara lain yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ; Pengerusi Barisan Nasional, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam serta menteri-menteri kabinet dan duta-duta asing.
Menerusi catatan Facebook Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, abang kepada Perdana Menteri, Mohamad Rani merupakan sahabat baik kepada mendiang sejak muda lagi. Pada ketika itu Mohamad Rani merupakan aktivis belia dan pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia bagi tahun 1980 - 1981.
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut mengimbau kembali era 1990-an, ketika Tun Dr. Ling menerajui MCA dan berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan dan beliau merupakan Ketua Pemuda UMNO.
"Semasa krisis dalaman UMNO, apabila parti itu diisytiharkan sebagai pertubuhan yang tidak sah, Tun Dr. Ling telah tampil sebagai Pemangku Pengerusi Barisan Nasional selama 12 hari. Dalam tempoh tersebut, Tun Dr. Ling mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional dan menghulurkan jemputan kepada UMNO yang baharu ditubuhkan (UMNO Baru) untuk menyertai semula gabungan itu — satu peristiwa yang masih segar dalam ingatan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah menerusi akaun media sosialnya berkata, kata-kata Tun Dr Ling ketika ketika menerima ijazah doktor kehormat menjadi motivasi buat dirinya.
"Dalam ucapannya, Tun berkongsi tentang makna “krisis”. Dalam bahasa Cina, krisis membawa dua maksud iaitu peluang dan bahaya. Kata-kata itu begitu sederhana, namun sangat mendalam. Jika kita berani menghadapi dan mengawal krisis, ia boleh menjadi peluang. Namun jika kita tewas, ia boleh membawa kepada bahaya.
"Sejak hari itu, prinsip tersebut saya pegang erat dalam perjalanan hidup saya dan ia menjadi panduan dalam setiap cabaran yang dihadapi. Pemikiran dan kebijaksanaan seorang negarawan seperti Tun bukan sahaja memberi inspirasi, malah membentuk siapa diri saya hari ini," katanya.
Begitu juga dengan Presiden MCA, pemergian Tun Dr. Ling ini turut memberi kesan kepada dirinya kerana titik tolak ketika beliau menceburi politik turut dipengaruhi oleh sokongan dan dorongan mendiang.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ka Siong bercerita dan mengimbau kembali bagaimana dirinya mula berani ke hadapan untuk aktif dalam politik.
"Ketika saya berusia 31 tahun pada era 1990-an, saya hanyalah seorang Setiausaha Bahagian MCA Johor Bahru. Tugas saya hanyalah mengendalikan aduan orang ramai. Namun minat saya adalah menyertai perbahasan dalam perhimpunan parti. Walaupun kami tidak mempunyai hubungan peribadi, rupa-rupanya tanpa pengetahuan saya, Tun Dr. Ling telah memerhati, ketika itu saya aktif dalam pelbagai kegiatan parti serta bertindak sebagai pengacara majlis bagi acara-acara parti.
"Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada pejabat beliau untuk bertemu di Kementerian Pengangkutan. Dalam pertemuan tersebut, beliau memaklumkan bahawa beliau telah memutuskan untuk melantik saya bersama sembilan lagi rakan seperjuangan dari MCA bagi mewakili parti dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara II (MAPEN II / NECC II), yang dibentuk dengan perwakilan seimbang antara kumpulan Bumiputera dan bukan Bumiputera. NECC II ditubuhkan bagi merangka dasar ekonomi untuk tempoh 2001 hingga 2010. Dalam kalangan 10 wakil MCA tersebut, saya merupakan ahli yang paling muda. Memandangkan saya perlu kerap berunding dan melaporkan kepada beliau, saya berpeluang untuk berinteraksi secara lebih dekat dengannya," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu lagi, beliau amat berbesar hati dengan peluang yang diberikan oleh Tun Dr. Ling, namun pada masa yang sama bimbang tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Masih segar dalam ingatan Tun Dr. Ling berkata - “Ka Siong, saya percaya kamu mampu melaksanakannya dan ini adalah platform yang sangat sesuai untuk kamu. Saya telah membuat syor kepada Perdana Menteri, Dr. Mahathir, dan kamu akan menerima surat pelantikan tidak lama lagi.”
"Tun Dr. Ling, terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dan melihat potensi dalam diri seorang anak muda yang pada ketika itu saya sendiri belum sedari. Terima kasih atas segala tunjuk ajar yang dikongsi. Apa yang ditinggalkan bukan sekadar kebijaksanaan politik, tetapi juga teladan abadi tentang kerendahan hati, kesopanan, dan kemanusiaan," katanya mengakhiri hantaran tersebut.
Penerangan MCA
8 April 2026