
Disaat kita sedang giat memacu dan membangunkan industri tempatan, dalam masa sama kita juga perlu meningkatkan daya saing jenama tempatan di peringkat global dan melindungi kepentingan rakyat Malaysia selaku pengguna.
Peraturan baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkenaan import kenderaan elektrik (EV) siap bina sepenuhnya (CBU) disifatkan bercanggah dengan trend global semasa pembangunan tenaga baharu, di samping membangkitkan kebimbangan bahawa ia bakal menjejaskan daya saing pasaran EV tempatan yang akhirnya merugikan pengguna.
Walaupun kerajaan dilihat berniat baik dalam melindungi industri automotif tempatan, namun ia tidak patut mengorbankan daya saing pasaran tempatan dan kepentingan pengguna.
Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas melindungi industri automotif negara tanpa menjejaskan kepentingan pengguna, maka mereka harus menggubal dasar bahawa mana-mana syarikat asing yang mahu melabur di Malaysia perlu memenuhi tanggungjawab untuk membantu memacu ekonomi dan membangunkan industri tempatan.
MCA secara konsisten menyokong mana-mana dasar kerajaan yang menggalakkan pembangunan tenaga baharu, demi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api dan pada masa sama mengurangkan perbelanjaan subsidi bahan api negara. Namun begitu, pasaran EV negara kita masih di peringkat awal, dan langkah kerajaan dalam menyekat kemasukan EV mampu milik dilihat tidak selari dengan matlamat menggalakkan penggunaan EV di kalangan rakyat.
Ini kerana syarat baharu MITI yang menetapkan bahawa semua EV CBU yang diimport perlu mempunyai nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) tidak kurang daripada RM200,000, akan menghalang kemasukan sebilangan besar EV negara asing daripada memasuki pasaran Malaysia. Ini juga akan mengehadkan pilihan EV dalam lingkungan harga RM100,000 hingga RM300,000 bagi keluarga berpendapatan sederhana, yang akhirnya memaksa mereka memilih jenama tempatan. Walaupun pada permukaannya ia dilihat baik, namun ini sebenarnya akan mengehadkan persaingan, dan tanpa persaingan, tiadanya insentif bagi pengeluar tempatan menurunkan harga, dan akhirnya pengguna terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.
Ditekankan, MCA menyokong mana-mana langkah untuk melindungi industri automotif negara dan sedia membantu dalam perangkaan dasar yang akan melindungi rangkaian bekalan industri dan peluang pekerjaan tempatan.
Oleh itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA mencadangkan agar kerajaan menetapkan syarat bahawa mana-mana syarikat kenderaan EV yang memasuki pasaran Malaysia wajib meningkatkan kadar penglibatan tempatan mereka, termasuk menggunakan alat ganti, pembekal dan bakat tempatan. Ini akan memacu pembangunan ekosistem industri tempatan dan menyediakan latihan dan pekerjaan berteknologi tinggi untuk manfaat rakyat Malaysia, seterusnya berupaya mengangkat Malaysia keluar daripada sekadar menjadi pasaran import dan jualan sahaja.
Selain itu, Jawatankuasa juga berpandangan bahawa EV pemasangan tempatan (CKD) juga harus dieksport ke luar negara, dan bukan hanya dijual di pasaran Malaysia sahaja. Ini bertujuan menjadikan negara kita sebagai hab pembuat dan pengekeport EV serantau, yang akan meluaskan skala pembangunan industri tempatan di samping menambahkan peluang pekerjaan.
Industri automotif tempatan tidak patut bergantung kepada dasar perlindungan negara lagi. Sebaliknya, penumpuan harus diberi kepada peningkatan daya saing dan daya tahan, penambahbaikan keupayaan teknologi dan kualiti produk, serta mengukuhkan perkhidmatan selepas jualan demi menjamin kedudukan di pasaran antarabangsa.
Ditegaskan sekali lagi, dasar perindustrian yang benar-benar memanfaatkan industri dan rakyat tempatan bukanlah melalui penyekatan dan penutupan pasaran tempatan, tetapi mencapai keseimbangan antara melindungi industri tempatan secara munasabah dan pada masa sama menggalakkan pasaran terbuka. Kemajuan berterusan dalam persaingan ini akan membolehkan industri automotif tempatan berkembang dengan proaktif dan akhirnya, membawa manfaat kepada rakyat serta pengguna tempatan.
Datuk Ir. Lawrence Low
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA
Naib Presiden MCA
8 Mei 2026