
Sehingga hari ini, kerajaan termasuk Timbalan Menteri KPDN Datuk Fuziah Salleh masih belum memberikan penjelasan yang tuntas berhubung kontroversi melibatkan Yayasan MADANI dan model MADANI Mart.
MADANI Mart dipromosikan sebagai satu inisiatif “rakyat”, kononnya hasil kerjasama antara kerajaan, usahawan dan komuniti bagi mengurangkan kos sara hidup melalui harga barangan lebih rendah.
Namun semakin banyak maklumat yang timbul, semakin jelas bahawa ini bukan sekadar model membantu rakyat tetapi satu struktur perniagaan yang menimbulkan persoalan serius dari segi tadbir urus dan konflik kepentingan.
Lebih menarik, kerajaan hari ini seolah-olah secara senyap mengiktiraf bahawa konsep yang pernah dilaksanakan di bawah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) oleh kerajaan Barisan Nasional sebenarnya berkesan, cuma kini dijenamakan semula dengan wajah baharu.
Di bawah KR1M, kerajaan membantu dari segi rantaian bekalan untuk menurunkan harga kepada pengguna.
Tetapi di bawah MADANI Mart, usahawan bukan sahaja perlu membuka premis sendiri, mereka juga perlu membayar yuran yang tinggi kepada Yayasan MADANI sehingga mencecah RM420,000 untuk tempoh tiga tahun.
Persoalannya, ini inisiatif membantu rakyat atau skim pelesenan yang menguntungkan pihak tertentu?
Lebih membimbangkan, Yayasan MADANI itu sendiri dikaitkan secara langsung dengan seorang Timbalan Menteri serta individu yang rapat dengan kepimpinan tertinggi negara.
Bagaimana sebuah entiti yang didakwa “bebas” boleh beroperasi dalam ekosistem kerajaan dan pada masa sama mengutip yuran besar daripada usahawan?
Bukankah ini jelas menimbulkan konflik kepentingan yang serius?
Lebih daripada itu, usahawan yang menyertai MADANI Mart juga dilihat tidak mempunyai kebebasan dalam rantaian bekalan apabila mereka hanya boleh mendapatkan stok daripada satu sumber sahaja iaitu Yayasan MADANI.
Ini bukan lagi soal membantu peniaga kecil. Ini soal kawalan pasaran. Apabila satu entiti mengawal lesen, bekalan dan struktur operasi, kita tidak boleh lagi menutup mata dan menyebutnya sebagai inisiatif rakyat.
Ini adalah satu model yang berpotensi menjadi monopoli terselindung. Maka beberapa persoalan asas mesti dijawab.
Ke manakah perginya semua yuran yang dikutip?
Adakah ia diaudit secara telus?
Siapa yang benar-benar mendapat manfaat daripada model ini, rakyat atau pihak tertentu dalam ekosistem kuasa?
Dan yang lebih penting, bagaimana individu yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan boleh dikaitkan secara langsung dengan struktur perniagaan seperti ini?
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak boleh berdiam diri dalam isu ini. Penjelasan mesti diberikan bukan sekadar kepada media tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kerana ini bukan lagi soal satu projek. Ini soal prinsip.
Jika kerajaan benar-benar komited kepada ketelusan dan reformasi, maka isu seperti ini tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa jawapan.
Rakyat sedang memerhati. Dan kali ini, mereka tidak akan mudah diyakinkan dengan slogan.
Wong Siew Mun
Ketua Pemuda MCA Pahang
9 April 2026