Kenyataan media oleh Datuk Chong Sin Woon, Setiausaha Agung MCA (9 Jun 2022)

MCA menggesa penubuhan jawatankuasa bertindak khas daripada pelbagai latar kepakaran bagi menangani kebimbangan rakyat dan membina semula keyakinan orang ramai dalam sistem kewangan negara.

Sebagai respons kepada kes-kes di mana wang simpanan pemilik akaun dalam bank dipindahkan daripada akaun simpanan dan juga akaun deposit simpanan tetap mereka tanpa pengetahuan mereka, yang semakin meningkat akhir-akhir ini, MCA menggesa agar ditubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak khas daripada pelbagai latar kepakaran bagi menangani kebimbangan rakyat dan membina semula keyakinan orang ramai dalam sistem kewangan negara.

Bercakap pada sidang media di ibu pejabat MCA hari ini (9 Jun 2022), Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon, diiringi oleh Ng Kian Nam daripada Biro Gerakan Persatuan Sivil MCA, Datuk Seri Michael Chong, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, dan Tan Tuan Peng, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ekonomi MCA menyebut, terdapat tiga sebab utama yang menyumbang kepada peningkatan kes-kes di mana wang simpanan pemilik akaun dipindahkan daripada akaun simpanan dan juga akaun deposit simpanan tetap mereka tanpa pengetahuan mereka.

“Pertama, tindakan memuat turun aplikasi daripada laman web yang tidak dikenali atau diketahui sumbernya. Justeru, MCA menggesa orang ramai agar tidak memuat turun sebarang aplikasi daripada sumber yang tidak dikenali bagi mengelakkan data mereka dibocorkan kepada pihak ketiga. Saya juga menasihatkan orang ramai untuk segera memadamkan aplikasi yang tidak digunakan bagi melindungi diri kita.”

“Kedua, baru-baru ini, kami membaca laporan akhbar berkenaan bank yang menjual data peribadi pengguna kepada pihak ketiga. Orang ramai menerima panggilan telefon yang sangat kerap daripada pihak yang tidak dikenali menawarkan pinjaman wang, pembelian kondominium dan macam-macam lagi. Biro Pengaduan Awam MCA juga menerima aduan daripada pelajar universiti, sebaik sahaja menerima biasiswa, atau pinjaman pendidikan atau wang daripada ibubapa mereka, beberapa hari selepas itu, mereka mula menerima panggilan telefon. Siapa yang mendedahkan maklumat bahawa pelajar-pelajar ini sudah menerima wang dalam akaun mereka?”

“Ketiga, kami tidak menafikan kemungkinan terdapat masalah “insider” dalam institusi kewangan, dan ini ialah isu yang amat serius.

Kami tidak mempunyai bukti, tetapi kami juga tidak menafikan bahawa ada kemungkinan ia berlaku."

“Justeru, MCA mencadangkan supaya Bank Negara menerajui isu ini dan menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak khas (task force) yang merangkumi pelbagai agensi berkaitan, antaranya, Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyber Security Malaysia, PDRM dan mana-mana agensi yang relevan menurut pandangan Bank Negara bagi mengatasi isu ini.”

“Sudah tiba masanya kerajaan bertindak untuk menyelamatkan integriti dan keyakinan orang ramai terhadap institusi-institusi kewangan negara. Apabila jawatankuasa bertindak khas ini sudah ditubuhkan, kami menggesa mana-mana pihak berkuasa yang menerima aduan daripada orang ramai agar tidak menolak aduan pengadu.

Siasatlah kes tersebut, dan maklumkan kepada orang ramai tentang apa yang sedang berlaku agar dapat dijelaskan kepada orang ramai dan bagi mendapatkan jalan penyelesaian dalam kes-kes ini.”

-MCA online-