Sehari selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCA pada Ahad lepas, Naib Presiden MCA merangkap ADUN Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong telah mengambil bahagian dalam perbahasan usul dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di DUN Melaka, Seri Negeri, Hang Tuah Jaya semalam.

Di dalam persidangan tersebut, beliau membangkitkan 5 perkara untuk perhatian dan tindakan lanjut Kerajaan Negeri Melaka, iaitu:

  1. Projek Perumahan Rakyat Klebang (PPR Klebang) yang terlewat perlu diberi keutamaan supaya dapat diserah milik kepada para pembeli dalam tempoh terdekat

  2. Pembangunan Eko Pelancongan di Sungai Klebang untuk merancakkan ekonomi tempatan

  3. Meluaskan skop pengurusan mitigasi banjir ke kawasan hotspot banjir seperti Taman Rambai Indah dan kawasan disekitarnya

  4. Meluaskan skop insentif keterjaminan makanan untuk merangkumi pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan

  5. Memperkenalkan skim pembangunan usahawan khas untuk kategori produk atau destinasi pelancongan baharu

Cadangan beliau ini susulan pembentangan Belanjawan Negeri Melaka oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada minggu lepas yang bertema Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM528.8 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM93 juta.

- Penerangan MCA