Berhubung laporan Ramssol Group (RAMSSOL, 0236) melalui anak syarikat Rider Gate Sdn. Bhd. telah dilantik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai Collection Agent atau ejen kutipan selama dua tahun. Pelantikan ini melibatkan perkhidmatan teras kerajaan, data sensitif rakyat dan kepentingan awam. Oleh itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) bertanggungjawab memberikan penjelasan penuh, telus dan menyeluruh.

Lima (5) persoalan utama yang perlu dijawab :

1. Adakah pelantikan syarikat ini dibuat melalui tender terbuka? Jika tidak, mengapa Ramssol dipilih?

Perkhidmatan yang melibatkan pangkalan data kerajaan, maklumat peribadi rakyat dan urusan transaksi besar-besaran seharusnya melalui proses tender terbuka yang telus serta kompetitif.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke juga perlu memberi penjelasan :

⦁ Adakah tender terbuka dijalankan dan dipatuhi?

⦁ Jika tidak, mengapa proses biasa diketepikan?

⦁ Apakah kelayakan Ramssol/Rider Gate hingga diberikan kepercayaan sebegini besar?

⦁ Adakah syarikat-syarikat lain turut dipertimbangkan?

⦁ Adakah sebarang rundingan awal atau persetujuan tidak rasmi telah berlaku?

Perkhidmatan awam tidak boleh menjadi "pelantikan dalaman" atau "urus janji tertutup" tanpa pengetahuan rakyat.

 

2. JPJ sudah ada sistem digital lengkap — mengapa masih perlu syarikat swasta?

JPJ kini mempunyai sistem yang mantap seperti aplikasi MyJPJ, portal JPJ saluran rasmi bank, Pos Malaysia, kiosk JPJ, eAuto dan sebagainya.

Kesemua platform ini berkemampuan menguruskan pindah milik kenderaan, pembaharuan cukai jalan dan pembayaran saman.

⦁ Jika sistem kerajaan sudah lengkap, mengapa perlu melantik syarikat swasta untuk menyediakan perkhidmatan yang sama?

⦁ Adakah sistem JPJ tidak mampu menampung jumlah pengguna? Terdapat kelemahan teknikal besar? Atau ruang pasaran sengaja dibuka kepada pihak tertentu?

Jika kerajaan sendiri tidak yakin dengan sistemnya, maka MOT wajib menjelaskan apakah puncanya.

 

3. Adakah rakyat akan dikenakan caj tambahan?

Laporan media menyatakan bahawa nilai kontrak bergantung pada jumlah transaksi — sekali gus menunjukkan syarikat memperoleh keuntungan daripada setiap urusan JPJ yang diproses.

Rakyat berhak tahu:

⦁ Adakah caj tambahan akan dikenakan?

⦁ Jika ya, siapa akan bayar - rakyat atau kerajaan?

⦁ Tidakkah ini akan meningkatkan kos sara hidup?

⦁ Adakah ini satu bentuk penswastaan perkhidmatan kerajaan?

Jika rakyat terpaksa membayar lebih untuk urusan yang sebelum ini boleh dibuat dalam sistem kerajaan, maka ia adalah tidak adil.

 

4. Mengapa perlu “orang tengah”? Siapa yang sebenarnya mendapat manfaat?

Melantik pihak ketiga untuk mengendalikan data awam menimbulkan risiko keselamatan, meningkatkan kos, dan menyerahkan tugas teras kerajaan kepada pihak swasta.

Maka persoalan paling penting ialah:

⦁ Apakah manfaat sebenar kepada rakyat?

⦁ Adakah terdapat manfaat lebih besar kepada syarikat tertentu?

Jika pelantikan ini tidak membawa nilai tambah yang jelas kepada pengguna, ia menimbulkan kebimbangan tentang potensi kepentingan terselindung.

5. MOT mesti memberi penjelasan segera secara terperinci dan jujur.

Bagi menjaga ketelusan dan kepentingan awam, Pemuda MCA menggesa Menteri Pengangkutan dan JPJ untuk:

⦁ Mendedahkan proses pelantikan syarikat berkenaan serta kriteria penilaian.

⦁ Menjelaskan sama ada tender terbuka dijalankan atau sebaliknya.

⦁ Memberi rasional mengapa fungsi kerajaan diserahkan kepada syarikat swasta.

⦁ Memaklumkan struktur caj dan sebarang kos tambahan yang dikenakan.

⦁ Memberi jaminan bahawa rakyat tidak perlu membayar lebih daripada biasa.

⦁ Menjamin keselamatan maklumat peribadi rakyat dan data kerajaan.

Pelantikan yang melibatkan transaksi bernilai jutaan ringgit dan berjuta-juta rakyat Malaysia, maka ia mestilah dibuat secara telus. Rakyat berhak tahu siapa yang membuat keputusan, apakah justifikasinya dan siapa yang mendapat manfaat sebenar.

MOT tidak boleh terus berdiam diri dan berpeluk tubuh, sebaliknya perlu memberikan penjelasan jelas, lengkap dan bertanggungjawab kepada rakyat.

𝐌𝐢𝐤𝐞 𝐂𝐡𝐨𝐧𝐠
𝐓𝐢𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐦𝐮𝐝𝐚 𝐌𝐂𝐀
𝟗 𝐃𝐢𝐬𝐞𝐦𝐛𝐞𝐫 𝟐𝟎𝟐𝟓