10 April 2017

Kenyataan Media YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia

Kementerian Pengangkutan menyiasat punca MH2718 tergelincir

Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan amat memandang serius kejadian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH2718 yang tergelincir di landasan Lapangan Terbang Sibu pada 8 April yang lalu. Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian saya bagi menjalankan siasatan menyeluruh yang terperinci dengan kadar segera untuk mengenalpasti punca kejadian.

Langkah-langkah sewajarnya hasil siasatan tersebut akan diambil untuk memastikan proses pelepasan dan pendaratan yang selamat di semua lapangan terbang.

Pada masa yang sama, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dan Malaysia Airlines telah diminta bekerjasama untuk memastikan operasi berjalan seperti biasa dan semua masalah yang timbul berikutan kejadian tersebut dapat diselesaikan terutama yang membabitkan para penumpang. Saya juga telah mengarahkan MAHB dan Malaysia Airlines untuk sentiasa memberi maklumat terkini berkaitan jadual penerbangan kepada semua penumpang.

Dalam perkembangan yang terkini, Lapangan Terbang Sibu telah kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 12.00am hari ini.

-MCA online-