Dalam tempoh satu bulan sahaja, harga diesel telah mencatat peningkatan lebih dua kali ganda, sekali gus menambahkan tekanan ke atas sektor pertanian, termasuk golongan pekebun durian di Raub.

Semalam, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon bersama pemimpin MCA tempatan telah turun padang sebagai tanda solidariti dengan mereka untuk mendesak kerajaan melakukan sesuatu.

Kata Sin Woon, para petani dan pekebun antara mangsa yang paling terkesan susulan kenaikan harga diesel. Selain daripada petani di Raub dan Bentong, beliau turut menerima aduan daripada golongan nelayan di Rompin, khususnya nelayan Zon C dan C2 yang masih belum menerima subsidi diesel, serta petani sayur-sayuran dan bunga di Cameron Highlands.

“Tidak dinafikan, krisis perang Asia Barat akan membawa kepada kenaikan harga bahan api, namun kerajaan harus berusaha mencari jalan keluar untuk membantu golongan ini,” kata Sin Woon, sambil menggesa kerajaan untuk merangkakan mekanisme bantuan yang sesuai.

Manakala Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Raub, Dato Wong Teik Weng pula mempersoalkan keputusan kerajaan untuk memberi subsidi kepada lori dalam sektor pengangkutan, tetapi bukan kepada lori para petani.

“Setahu saya, hanya lori milik persendirian layak menerima subsidi, manakala lori milik perusahaan tidak, walaupun kerap bergerak antara Singapura, Kuala Lumpur dan Raub. Ini melibatkan sejumlah besar penggunaan diesel. Oleh itu, saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusan mereka,” katanya.

Pengerusi Semoa Home for Orang Asli (SEMOA) Raub, Fabian pula menjelaskan bahawa kebanyakan Orang Asli bekerja sebagai petani, dan mereka bergantung kepada lori dan trak untuk mengangkut hasil pertanian mereka.

“Saya begitu terkejut apabila mendapat tahu bahawa harga diesel telah naik sebanyak 70 sen seliter semalam,” katanya.

Beliau turut berharap Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengurangkan harga diesel supaya kos operasi mereka tidak terlalu tinggi. 

Penerangan MCA
10 April 2026