
Ini respon saya terhadap kelantangan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming baru-baru ini yang mengkritik Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan enakmen negeri yang membolehkan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bagi memperkukuh fungsi dan komposisi Dewan sebagai "tidak demokratik" dan "bercanggah dengan perlembagaan", malah mengugut untuk melancarkan kempen memungut tandatangan besar-besaran.
Saya ingin mengingatkan Nga Kor Ming bahawa Johor bukanlah satu-satunya negeri yang mempunyai ADUN Lantikan. Pahang, Sabah, dan Terengganu juga mempunyai sistem atau peruntukan berkaitan yang serupa, tetapi DAP tidak pernah menyuarakan bantahan sebelum ini.
DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah dan Pahang sejak tahun 2023. Jika DAP benar-benar menganggap sistem ADUN Lantikan ini bertentangan dengan semangat demokrasi, mengapa sejak dua tahun lalu, DAP tidak pernah melaungkan isu "bercanggah dengan perlembagaan" atau melancarkan kempen tandatangan di Pahang dan Sabah?
Apa yang dilihat oleh rakyat sekarang, prinsip yang kononnya dipegang oleh DAP sebenarnya hanyalah satu permainan dwi-standard atau pilih bulu. Apabila Kerajaan Negeri Johor mahu melaksanakannya ia dipanggil 'pintu belakang', tetapi apabila sistem yang serupa wujud di negeri di mana mereka turut serta dalam pentadbiran kerajaan, DAP memilih untuk diam membisu.
Apabila Kerajaan Negeri Pahang melantik 5 ADUN Lantikan pada tahun 2024, yang mana antaranya termasuk Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzly Mohd Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Rizal Jamin, 3 daripada 7 ADUN yang mengundi menyokong usul tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri adalah dari DAP.
Jika apa yang dikatakan oleh Nga Kor Ming hari ini adalah serius, iaitu sistem ADUN Lantikan itu tidak demokratik dan tidak berperlembagaan, maka mengapa ADUN DAP mengundi bagi menyokong usul tersebut pada ketika itu?
Adakah asalkan sekutu sendiri yang mendapat jawatan, tiba-tiba ia menjadi patuh pada demokrasi dan patuh perlembagaan?
Tindakan DAP yang berterusan mensensasikan isu di Johor kini hanyalah dilihat sekadar manipulasi politik dalam cubaan untuk mewujudkan tekanan melalui isu-isu yang dimainkan dengan emosi.
Rakyat sebenarnya lebih mengambil berat tentang isu kelembapan ekonomi, kenaikan harga barangan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan hidup rakyat, dan bukannya tindakan DAP yang tidak henti-henti mencipta isu demi kepentingan politik setiap hari.
Lebih-lebih lagi perkara yang dikritik oleh DAP hari ini pernah disokong oleh mereka sendiri pada masa lalu, namun kini tiba-tiba mereka berubah pendirian dan enggan mengakuinya. Ini boleh diibaratkan seperti 'meludah ke langit kena muka sendiri'.
Seorang pemimpin yang benar-benar berprinsip seharusnya lebih memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat, serta berusaha untuk merealisasikan janji-janji politik dan reformasi yang telah dibuat oleh dirinya dan Pakatan Harapan sebelum ini, bukannya mentafsirkan demokrasi dan prinsip secara terpilih.
Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan
10 Mei 2026