
Acara penutup siri jelajah nasional “Youth Run” anjuran Pemuda MCA sempena Ulang Tahun ke-70 sayap pemuda parti itu akan berlangsung di ibu negara pada 21 Disember 2025, dijangka menarik penyertaan kira-kira 2,000 belia dan warga kota. Dalam kenyataan hari ini, Pemuda MCA memaklumkan bahawa acara anjuran bersama Pemuda MCA Kebangsaan dan Pemuda MCA Wilayah Persekutuan itu akan bermula pada 7.00 pagi dengan pendaftaran dibuka seawal 6.00 pagi di Wisma MCA, yang turut menjadi lokasi permulaan dan penamat larian.
Laluan sejauh 5.3 kilometer itu membawa peserta mengelilingi beberapa mercu tanda utama Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar PETRONAS, menjadikannya antara laluan larian paling ikonik dalam siri jelajah tersebut.
Timbalan Ketua Pemuda MCA merangkap Pengarah Program Ulang Tahun ke-70, Mike Chong Yew Chuan, berkata penganjuran peringkat Kuala Lumpur membawa signifikan tersendiri kerana ia menutup siri jelajah yang bermula beberapa bulan lalu di seluruh negara.
“Youth Run bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan belia, malah menjadi simbol perjalanan 70 tahun Pemuda MCA dalam memperkasakan generasi muda melalui aktiviti masyarakat.
Pemilihan Wisma MCA sebagai lokasi utama menggambarkan kesinambungan antara sejarah dan masa depan organisasi,” katanya.
Menurut beliau, laluan larian yang mengelilingi mercu tanda ibu kota turut mencerminkan aspirasi generasi muda untuk terus melangkah ke hadapan dengan keyakinan dan iltizam.
Acara “Youth Run” membawa semangat “Sihat, Bertenaga, Bersatu dan Maju”, yang menjadi tema utama sambutan ulang tahun Pemuda MCA kali ini.
Dua kategori penyertaan dibuka kepada orang ramai, iaitu Kategori Terbuka (RM30) dan Kategori Pelajar (RM10) dengan pendaftaran melalui pautan rasmi berikut:
Peserta yang menamatkan larian akan menerima T-shirt khas Ulang Tahun ke-70 Pemuda MCA serta pingat edisi terhad yang direka dengan elemen Menara Berkembar PETRONAS, Menara Kuala Lumpur dan Wisma MCA. Pelbagai cenderamata turut disediakan.
Memandangkan acara berlangsung pada minggu pertama cuti sekolah, ia turut digalakkan sebagai aktiviti riadah keluarga bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Pendaftaran dalam talian kini dibuka. Orang ramai boleh mengikuti perkembangan lanjut melalui Facebook rasmi Pemuda MCA di:
- Penerangan MCA