
MCA merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Wong You Fong atas pelantikan beliau sebagai Senator.
You Fong mengangkat sumpah sebagai Senator bagi penggal kelima pada Isnin di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, YB Senator Dato Awang Bemee Bin Awang Ali Basah.
"Merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan pelantikan saya sebagai Ahli Dewan Negara.
"Terima kasih juga buat Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan semua yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas amanah ini. Saya sedar ini satu tanggungjawab besar dan pastinya saya akan lakukan yang terbaik untuk masyarakat serta negara." - Katanya kepada pemberita hari ini.
Hadir sama menyaksikan beliau mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini ialah Naib-naib Pengerusi Wanita MCA Kebangsaan, Tan Choo Kuan, Loh Siew Ying, Liew Kim Moy; Setiausaha Agung Wanita MCA Kebangsaan, Chan Quin Er; serta Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang dan Pembaikan Dasar Wanita MCA Kebangsaan, Chang Mei Kee.
Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pengalaman, komitmen serta jasa beliau yang telah lama berkhidmat dalam arena politik, khususnya dalam memperjuangkan suara wanita, masyarakat serta pembangunan parti di pelbagai peringkat.
You Fong memiliki latar belakang akademik dalam bidang perundangan apabila memperoleh Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) pada tahun 1990 sebelum melengkapkan kelayakan profesional Sijil Amalan Guaman Malaysia (CLP) pada tahun 1994. Beliau juga merupakan alumni Sekolah Menengah Foon Yew, Johor Bahru.
Sepanjang penglibatan dalam MCA, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Wanita MCA Kebangsaan sejak 20 Disember 2022, selain turut mengetuai Wanita MCA Negeri Johor dan MCA Bahagian Pulai.
Beliau juga berpengalaman luas dalam kepimpinan parti termasuk pernah berkhidmat menerusi pelbagai portfolio berkaitan organisasi, pendidikan, politik dan penyeliaan badan kehakiman parti.
MCA percaya pelantikan ini akan memperkukuhkan lagi suara rakyat di Dewan Negara, khususnya dalam isu melibatkan wanita, keluarga, pendidikan, perpaduan masyarakat serta pembangunan negara.
Semoga Datuk Wong You Fong dapat terus menjalankan amanah dengan cemerlang demi kepentingan rakyat dan negara.
Tahniah dan selamat menjalankan tugas.
Maklumat penuh Datuk Wong You Fong DI SINI
PENERANGAN MCA
11 MEI 2026