12 Januari 2019

Kenyataan Akhbar Setiausaha Pemuda MCA Pahang Saw Yee Fung

Jangan tunduk kepada ugutan – "Hukum" Pakatan Harapan dalam peti undi

Demi meraih sokongan pengundi di PRK Cameron Highlands ini, Pakatan Harapan sanggup melakukan perbuatan terdesak termasuk menyalahgunakan kuasa dan sumber kerajaan. Malah, ada juga kenyataan yang berbaur ugutan untuk melucutkan jawatan Tok Batin dan enggan membayar gaji mereka. Ini jelas bercanggah dengan semangat demokrasi dan undang-undang pilihan raya.

Seminggu sebelum hari penamaan calon, berpusu-pusu menteri Pakatan Harapan turun padang ke Cameron Highands. Mereka hadir 'membawa' projek-projek tempatan dan menabur gula-gula pilihan raya sekaligus membuka ruang kepada amalan rasuah. Lebih teruk lagi, calon Pakatan Harapan, M. Manogaran telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman apabila mengatakan “Kuih Orang Asli pun Melayu tak beli”. Kenyataan itu cukup menghina serta mengguris hati masyarakat Orang Asli dan berupaya menjejaskan keharmonian yang terjalin sejak sekian lama di negara ini.

Tidak cukup dengan itu, Tok Batin turut diancam dengan pelucutan jawatan dan tidak akan dibayar gaji sekiranya enggan menyokong Pakatan Harapan. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Senator Bob Manolan dalam satu program meraih undi. Ini menunjukkan sifat sebenar Pakatan Harapan yang angkuh serta tidak menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi.

Tindakan M.Manogaran dan Bob Manolan yang secara jelas menyalahgunakan sumber kerajaan bertujuan mengancam para pengundi amat dikesali. Perbuatan ini turut mencemari proses pilihan raya dan amalan demokrasi yang dipraktikkan selama ini.

Sebagai pemimpin negara, mereka seharusnya sedar bahawa sumber kerajaan merupakan hak milik rakyat dan bukannya untuk kegunaan peribadi Pakatan Harapan. Ugutan untuk menarik balik peruntukan menyerlahkan keangkuhan dan kesombongan mereka. Justeru itu, para pengundi di Cameron Highlands digesa supaya menghukum kerajaan Pakatan Harapan melalui pilihan raya kecil ini!

Pakatan Harapan wajar ditolak dan menjadikan ia sebagai satu amaran kepada kerajaan supaya tidak mengambil mudah sokongan rakyat. Pilihan raya kecil ini amat penting buat pengundi Cameron Highlands khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya. Ia juga akan dijadikan sebagai amaran kepada Pakatan Harapan bahawa rakyatlah kuasa penentu sebenar.

Sehubungan itu, para pengundi di Cameron Highlands diseru supaya menyampaikan isyarat ini kepada kerajaan bahawa rakyat tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman Pakatan Harapan malah akan terus menjunjung semangat dan prinsip demokrasi!

-MCA online-