
Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menyatakan harapannya agar Pemuda MCA meneruskan perjuangan parti, merekrut lebih ramai anak muda untuk menyertai MCA pada masa hadapan, berpegang teguh pada prinsip MCA, mempertahankan kepentingan rakyat dan komuniti Cina, bersama membina Malaysia, dan memastikan Pemuda MCA dapat maju ke hadapan dengan lebih mantap untuk 70 tahun akan datang.
Dalam ucapannya di majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-70 Pemuda MCA malam tadi, Ka Siong turut mengimbau kembali jasa beberapa mantan Ketua Pemuda MCA yang menyumbang kepada masyarakat dan negara. Beliau mengambil contoh seperti Dato' Seri Kee Yong Wee, yang mempromosikan seni mempertahankan diri dan memperkenalkannya ke sekolah; Dato' Yap Pian Hon, yang tidak gentar dengan tokoh-tokoh berpengaruh, memimpin Pemuda MCA mempertahankan pendidikan Cina semasa kontroversi pada tahun 1980-an, mengharungi rintangan termasuk pernah dipenjara; dan Datuk Nicole Wong Siaw Ting, Ketua Pemuda MCA pertama daripada wanita, yang tanpa gentar bertanding di kubu kuat parti lawan, seperti yang diatur oleh parti.
Beliau menyatakan bahawa apabila menghadapi isu-isu besar, terutamanya semasa tahun 1980-an, pemimpin Pemuda MCA sering berhubung secara langsung dengan Perdana Menteri untuk mencari jalan penyelesaian terbaik yang berkesan dalam masa sesingkat yang mungkin.
"Dengan dedikasi dan keberanian dari satu generasi ke satu generasi merentasi bidang politik, ekonomi, budaya dan pendidikan, Pemuda MCA kini menjadi tonggak terkuat parti." Kata beliau.
Terdahulu, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, YB Ling Tian Soon dalam ucapannya mengajak hadirin bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan di atas pemergian mantan Setiausaha Organisasi MCA Kebangsaan, Wang Choon Wing @ Wong Soon Joong yang telah meninggal dunia baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Tian Soon menegaskan bahawa tanpa usaha pemimpin-pemimpin terdahulu, Pemuda MCA mungkin tidak dapat menegakkan cita-citanya sehingga ke hari ini. Perjuangan pemimpin-pemimpin Pemuda MCA terdahulu menunjukkan keberanian Pemuda MCA—walaupun dipenjarakan, mereka tidak gentar; sentiasa bersedia berdepan pihak lawan tanpa berundur walau seinci, bahkan jika ada yang menyentuh komuniti Cina, Pemuda MCA adalah yang terawal mempertahankannya.
Dalam masa sama, Tian Soon menyatakan bahawa kisah-kisah pemimpin terdahulu jelas menggambarkan semangat Pemuda MCA, sentiasa berhubung rapat dengan rakyat di peringkat akar umbi, menjadi barisan hadapan parti apabila diperlukan, dan menyampaikan suara rakyat dengan jelas.
Beliau menegaskan bahawa perlembagaan parti menggariskan dengan jelas tanggungjawab Pemuda MCA, termasuk membina masyarakat yang adil dan mempertahankan hak perlembagaan. Beliau berikrar bahawa Pemuda MCA akan membuka lembaran baharu, mencipta sejarah Pemuda MCA, dan membantu parti untuk kembali ke arus perdana politik, mengembalikan zaman kegemilangan MCA dan Barisan Nasional.
“Para pendahulu kita telah meninggalkan 70 tahun kegemilangan, dan generasi kita mesti memastikan perjuangan parti diteruskan. Kita mesti maju ke hadapan dengan teguh, merapatkan barisan kita, dan membantu parti mengukuhkan kuasanya, memastikan kegemilangan Pemuda MCA diturunkan dari generasi ke generasi."
Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-70 Pemuda MCA merupakan salah satu daripada siri acara meraikan ulang tahun ke-70 Pemuda MCA. Antara mantan Ketua Pemuda MCA yang hadir termasuk Dato’ Seri Kee Yong Wee, Dato’ Yap Pian Hon, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Datuk Chong Sin Woon, dan Datuk Nicole Wong Siaw Ting,
Turut diadakan "Majlis Pelancaran Kapsul Masa 10 Tahun Pemuda MCA", di mana Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon, membuka dokumen yang disimpan dalam kapsul masa 10 tahun yang lalu, pada tahun 2015, oleh Ketua Pemuda MCA pada ketika itu, Datuk Chong Sin Woon. Ling Tian Soon turut membacakan dokumen itu dengan lantang.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan pentas antaranya Gendang 24 Perayaan, tarian oleh Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MCA, persembahan lukisan pasir, majlis penyampaian anugerah untuk pemenang dalam aktiviti sukan anjuran Pemuda MCA dan majlis memotong kek sempena sambutan Ulang Tahun ke-70 Pemuda MCA.
Penerangan MCA
11 Januari 2026