12 April 2017

Kenyataan Media Setiausaha Agung Pemuda MCA Dato’ Leong Kim Soon

Teo Kok Seong patut berbahas dengan PKR & PPBM kerana menyokong RUU355

Sebelum mencabar MCA untuk berbahas dengan Presiden PAS Dato’ Seri Hadi Awang mengenai rang undang-undang persendiriannya untuk meminda Akta 355, ahli Parlimen DAP untuk Rasah Teo Kok Seong sepatutnya menjemput rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap pindaan tersebut.

Teo telah mencabar mana-mana pemimpin MCA, sama ada Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, ahli Parlimen Alor Gajah Dato’ Koh Nai Kwong, ahli Parlimen Tebrau Khoo Soo Seang atau Ketua Publisiti Senator Dato’ Chai Kim Sen untuk berbahas tentang RUU 355 secara umum.

Jika Teo ada akal, dia sepatutnya berbahas dengan rakan sekutunya di Pakatan Harapan, dan mengumumkan pendirian bersama Pakatan Harapan terhadap RUU 355 kepada rakyat, dan bukannya mengelak tanggungjawab dan cuba mengaburi isu tersebut.

Komponen-komponen lain dalam Pakatan Harapan telah jelas mengumumkan sokongan mereka terhadap RUU 355, akan tetapi, DAP yang merupakan parti terbesar dalam pakatan pembangkang masih berdiam diri, malah cuba mengalih perhatian rakyat.

Apabila Dato’ Seri Hadi Awang membentangkan RUU persendiriannya dalam Dewan Rakyat pada 6 April 2017, kesemua rakan sekutu DAP telah menyuarakan sokongan mereka. DAP pula enggan mengakui fakta tersebut, malah, cuba memburukkan MCA dan menuduh MCA gagal menghalang RUU tersebut.

Pada 7 April 2017, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Dato’ Saifuddin Abdullah telah mengakui bahawa tidak ada wakil rakyat dari Pakatan Harapan yang menghalang pembentangan RUU tersebut. Pada 8 April 2017, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga mengeluarkan kenyataan media yang mengatakan bahawa PKR sedia mengambil bahagian dalam jawatankuasa terpilih untuk mengkaji pemerkasaan mahkamah syariah. Sementara itu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyuarakan sokongannya terhadap RUU355.

Terbaharu, Angkatan Muda Keadilan (Pemuda PKR) juga telah menyuarakan sokongan mereka terhadap RUU355 dan mengisytiharkan kenyataan Dato’ Seri Anwar sebagai pendirian PKR. Oleh itu, Teo sepatutnya menjelaskan pendirian Pakatan Harapan, dan bukannya memburukkan MCA. Teo hanya berani menuduh MCA walaupun selama ini kami tegas membantah RUU355 dengan konsisten, tetapi Teo gagal menegur rakan-rakannya di PPBM dan PKR yang telah menyokong RUU355 secara terbuka.

Dato’ Leong Kim Soon
Setiausaha Agung Pemuda MCA

-MCA online-