14 April 2021

Kenyataan media Jurucakap MCA, Mike Chong

ECRL 3.0: Menyangkal berita palsu Pakatan Harapan

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong telah mengumumkan dengan terperinci berhubung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) 3.0 pada sidang media minggu lepas, termasuk mengembalikan semula jajaran Seksyen C (Jajaran Utara). Beliau turut menegaskan, jajaran terbaharu tersebut adalah muktamad bagi ECRL yang telah melalui zaman Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan kini Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, kita melihat pelbagai kecaman dilontarkan oleh pemimpin tertentu dari pihak pembangkang, termasuk Ahli EXCO kerajaan Selangor, Dato’ Teng Chang Khim serta Ahli EXCO kerajaan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong. Kedua-duanya dilihat telah mempolitikkan isu tersebut serta menyerang Kementerian Pengangkutan (MoT) secara emosional dan populis. Lebih malang, sesetengah laman media sosial pro-PH telah menyebarkan berita palsu dan cerita rekaan secara berterusan untuk memfitnah serta memperlekehkan MoT serta ECRL.

Jajaran yang telah dimuktamadkan tersebut dicapai hasil kajian profesional secara mendalam serta lawatan ke lokasi sebenar oleh pakar-pakar pengangkutan rel, dengan mengambil kira pendapat dan input daripada pihak agensi kerajaan negeri - kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan; pihak berkuasa tempatan; pemain industri serta pemegang taruh.  

Jajaran Utara zaman PN ini juga disokong oleh hasil kajian santifik dan profesional, tidak kira dari segi pertimbangan kos pembinaan; manfaat ekonomi; penggunaan kargo dan penumpang; sosio-ekonomi; pemeliharaan kawasan tadahan air; melindungi hutan simpan mahupun penempatan Orang Asli dan lain-lain, semuanya lebih baik berbanding Jajaran Selatan zaman PH.

Pihak PH pula gagal menyokong dakwaan mereka bahawa Jajaran Selatan lebih baik bersandarkan data profesional dan saintifik, sebaliknya mereka sekadar menyerang MoT secara emosional dan populis, malah tergamak memburuk-burukkan MoT dengan menyebarkan berita palsu, cerita rekaan serta memanipulasi data melalui laman pro-PH.

Amalan semak dan imbang pihak pembangkang termasuk netizen terhadap kerajaan amat dialu-alukan, tetapi biarlah ia berfakta dan dilengkapi data sahih dengan pendekatan profesional serta saintifik. Apabila sesuatu isu melibatkan projek infra-rakyat, sumber dan kepentingan awam, maka sepatutnya kepentingan negara dan rakyat dijadikan sebagai asas pertimbangan, bukannya hanya sekadar merendah-rendahkan pihak lawan.

-MCA online-