Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong menggesa kerajaan PH menubuhkan Siasatan Diraja (RCI) menyiasat skandal 1MDB daripada terus membuat spekulasi.

Tambah Ka Siong lagi, ia perlu dilakukan susulan keputusan kerajaan Singapura memulangkan RM46 juta kepada Malaysia yang dipercayai hasil pengubahan wang syarikat itu dan dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang mempunyai surat membuktikan RM2.6 bilion adalah derma keluarga diraja Arab Saudi.

“Daripada hanya berterusan membuat spekulasi, ini adalah waktu yang tepat dan adil untuk rakyat Malaysia dengan menubuhkan badan yang bebas, telus dan tidak berpihak bagi mencari kebenaran tentang 1MDB,” katanya menerusi akaun Facebooknya pada Selasa.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut berkata Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dan laporan Wall Street Journal memberi gambaran beberapa individu selain daripada ahli perniagaan Low Taek Jho, termasuklah pegawai PetroSaudi International, International Petroleum Investment Company dan Aabar Investments PJS terlibat.

“Adakah kerajaan sudah memanggil individu-individu ini untuk disoal siasat atau adakah kerajaan sudah memohon ekstradisi mereka untuk didakwa di sini? Adakah ada rancangan untuk melakukan hal itu?

“Apa status dan perkembangan perjanjian persetujuan yang ditandatangani Malaysia dan kerajaan Abu Dhabi pada April 2017 yang mana resolusinya adalah bahawa setiap wang yang hilang akan dipulangkan kepada 1MDB?” katanya.

Ka Siong turut mengingatkan kerajaan bahawa penubuhan RCI ke atas 1MDB merupakan salah satu janji 100 hari Pakatan Harapan.

Skandal 1MDB ketika ini disiasat pelbagai agensi termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

-BN Portal-