Pemuda MCA Selangor mengajak orang ramai khususnya di negeri Selangor supaya menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenaan isu penternakan babi berskala besar di Tanjong Sepat.

Dalam masa sama, Pemuda MCA Selangor juga mendesak kerajaan negeri menyiasat dakwaan wujudnya kemungkinan unsur rasuah, konflik kepentingan dan kegagalan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek tersebut.

Kerajaan negeri disaran menyiasat syarikat mana yang akan mendapat keuntungan besar, dan proses tender yang menentukan pemenang projek, serta proses laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang meluluskan projek tersebut di Tanjong Sepat, walaupun dibantah penduduk sejak awal lagi.

Di dalam sebuah negara majmuk, sensitiviti kepelbagaian kaum dan agama haruslah diambil kira terlebih dahulu supaya sebuah penyelesaian yang harmoni dan boleh diterima semua pihak boleh dicapai.

Isu ini wajar dikendalikan dengan baik, dan kerajaan negeri sepatutnya turun padang terlebih dahulu untuk mendengar suara dan keluhan penduduk yang berdekatan dengan projek tersebut, bukannya membuat keputusan secara sepihak sahaja.

Penempatan pusat penternakan babi berskala besar tidak harus diletakkan berhampiran kawasan penempatan, apatah lagi kawasan yang majoritinya beragama Islam. Pemilihan lokasi juga harus mengambil kira sama ada ia berhampiran sungai atau sumber air yang boleh tercemar sekiranya berlakunya kesilapan dalam pengoperasian harian.

Dalam masa sama, tidak perlu untuk mengheret pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini yang dikatakan mencadangkan projek penternakan babi berskala besar, kerana pemilihan lokasi yang sesuai sepatutnya dibuat kerajaan negeri PKR dan DAP yang sudah pun berkuasa hampir 20 tahun di negeri Selangor.

Tan Jie Sen
Ketua Pemuda MCA Selangor
13 Januari 2026