13 Mei 2019

Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA Kebangsaan Ng Sing Phing

Menteri Pendidikan perlu memberi penjelasan bagaimana peluang lulusan STPM tidak terjejas

Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA Kebangsaan mendesak supaya Menteri Pendidikan YB Dr Maszlee Malik memberikan penjelasan terperinci mengenai kenyataan awalnya bahawa penambahan jumlah pelajar matrikulasi daripada 25,000 ke 40,000 tidak akan menjejaskan peluang lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) memasuki Universiti Awam (UA). Ini perlu dibuat memandangkan penempatan tambahan bagi matrikulasi dilihat sebagai cara penyelesaian jangka pendek yang sememangnya bakal memberi impak negatif yang lebih besar pada jangka panjang. 

Kami meminta Menteri Pendidikan memberi penjelasan yang telus tanpa berdolak-dalik kerana sebarang dasar pendidikan yang dilaksanakan pasti mendatangkan kesan yang mendalam terhadap usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan untuk negara.

Persoalan kami:

  1. Adakah Kementerian Pendidikan merancang untuk membina lebih banyak UA? Jika ya, adakah universiti-universiti awam tersebut sempat dibuka pada tahun depan, bagi menampung kemasukan lulusan STPM yang mana peluang mereka untuk memasuki UA sudah dirampas?

  2. Adakah kerajaan bercadang meningkatkan pengambilan UA sedia ada? Jika ya, adakah UA ini sudah bersedia dari segi tenaga pengajar serta peralatan pendidikannya? Jika tidak, standard UA pastinya akan terjejas, dan mungkin terpaksa dikorbankan.

  3. Sekiranya benar seperti kata Menteri Pendidikan bahawa peluang lulusan STPM untuk memasuki UA tidak terjejas, dengan tiadanya penambahan bilangan UA ataupun pengambilannya, adakah ini bermaksud peluang memasuki UA bagi lebihan 15,000 pelajar matrikulasi ini akan dikorbankan?

Kami memohon Kementerian Pendidikan supaya memberi penjelasan yang telus, bukan bersikap acuh tak acuh. Janganlah membiarkan para pelajar ternanti-nanti, terutamanya mereka yang berasal dari keluarga miskin, memandangkan semester baharu akan bermula tidak lama lagi.

-MCA online-