UtusanTV telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Biro Penerangan MCA bagi membincangkan peluang kerjasama media serta memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak.

Kunjungan itu disambut oleh Timbalan Pengerusi Biro Penerangan MCA merangkap Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, dalam satu pertemuan yang berlangsung di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Delegasi UtusanTV diketuai Ketua Pengarang, Metra Syahril Mohamed, bersama Penolong Pengarang Berita, Afiq Mohd Shah; Pengarang Majalah, Rosmarlinda Kamarudin dan Eksekutif Pentadbiran, Nurfarahin Mohamad.

Pertemuan berkenaan membuka ruang pertukaran pandangan mengenai landskap media semasa, khususnya dalam usaha menyampaikan maklumat yang seimbang, berfakta dan bertanggungjawab, di samping meneroka potensi kerjasama strategik bagi memperkukuh komunikasi dengan masyarakat.

Dalam pertemuan tersebut, Neow menzahirkan penghargaan atas kunjungan UtusanTV dan menyatakan harapan agar hubungan baik antara organisasi media, khususnya UtusanTV, dan MCA dapat terus diperkasakan demi kepentingan rakyat dan negara.

Kunjungan yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra itu mencerminkan komitmen bersama antara UtusanTV dan MCA untuk terus menyumbang ke arah pembangunan ekosistem media yang positif, beretika dan berintegriti.

PENERANGAN MCA
7 JANUARI 2026