14 Jun 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Wanita MCA Senator Dato’ Ong Chong Swen

Hentikan kenyataan bercanggah yang boleh menjejaskan ekonomi negara

Saya menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya lebih konsisten apabila mengeluarkan kenyataan kerana ini akan membawa impak negatif kepada ekonomi negara.

Semasa lawatan rasminya ke Jepun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad telah memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan bankrap kerana masih memiliki rizab yang besar. Oleh itu, saya menggesa kerajaan supaya mengkaji semula keadaan ekonomi negara secara bertanggungjawab dan profesional, demi mengelak kebimbangan masyarakat antarabangsa dan menjejaskan keyakinan pelabur. 

Menurut Bank Negara Malaysia, rizab antarabangsa negara kita adalah AS$108.5 bilion setakat 31 Mei tahun ini, dan memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negara jangka pendek.

Kenyataan Perdana Menteri mengenai rizab antarabangsa negara menggunakan data dari BNM. Akan tetapi, mengapakah angka-angka yang dipetik mengenai hutang negara pula tidak dibuat berdasarkan data BNM? Walaupun BNM berkali-kali menyatakan bahawa jumlah hutang negara adalah RM686.8 bilion, tetapi Pakatan masih mendakwa hutang negara telah melebihi RM1 trilion, yang telah mencetuskan kekeliruan dan percanggahan fakta.

Pada 21 Oktober 2017, Tun Dr Mahathir mendakwa bahawa hutang negara adalah RM900 bilion dan Malaysia akan bankrap pada bila-bila masa. Akan tetapi, selepas menjadi Perdana Menteri ketujuh, hutang negara pula didakwa mencecah RM1 trilion, dan ini disokong Menteri Kewangan baharu Lim Guan Eng yang menjelaskan bahawa jumlah ini juga mengambilkira jaminan kerajaan dan pajakan PPP/PFI. Kemudian, Pakatan melancarkan Tabung Harapan Malaysia dengan slogan “menyelamatkan negara”, malah mendakwa keadaan ekonomi negara begitu teruk sehingga beberapa projek mega harus dibatalkan atau ditangguhkan, dan janji-janji Pakatan Harapan tidak boleh ditunai dalam100 hari seperti yang dijanjikan.   

Ia harus ditekankan bahawa pengaliran pelaburan asing adalah sangat sensitif kepada data ekonomi yang dibekalkan kerajaan. Maka, jika kerajaan sering mengeluarkan kenyataan yang bercanggah, ia akan menjejaskan keyakinan pelabur asing dalam pasaran negara, sekaligus menjejaskan kredibiliti kerajaan.

Senator Dato’ Ong Chong Swen
Naib Pengerusi Wanita MCA

-MCA online-