Naib Pengerusi Wanitanya, Senator Datuk Ong Chong Swen berkata, ia sebaliknya merupakan sebuah ‘pengecilan drastik’ projek tersebut dan bukannya penjimatan kos seperti yang diuar-uarkan.

“Ini jelas dua perkara yang berbeza. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disaran jangan kelirukan rakyat semata-mata untuk ‘masuk bakul angkat sendiri’.

“Susulan perubahan tersebut, tarikh siap pembinaan LRT3 akan dilanjutkan selama empat tahun, iaitu daripada tahun 2020 kepada 2024,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kewangan semalam mengumumkan projek LRT3 dengan jarak sejauh 37 kilometer dari Johan Setia, Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya akan diteruskan namun pada kos yang lebih rendah, iaitu RM16.63 bilion, berkurangan 47 peratus berbanding kos asal RM31.65 bilion.

Berdasarkan laporan BERNAMA, terdapat beberapa langkah utama yang diambil untuk mengurangkan dan merasionalisasi kos projek LRT3 antaranya mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc.

Selain itu, pembinaan lima stesen yang dijangkakan mempunyai jumlah penumpang yang rendah turut ditangguhkan, sehingga terdapat keperluan untuk membina stesen tersebut manakala pembinaan terowong sepanjang dua kilometer untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam juga dibatalkan.

- UTUSAN ONLINE