Kerajaan akan memberi tumpuan untuk membangunkan sektor logistik negara, selain mengembangkan perkongsian itu dalam kalangan anggota ASEAN, China dan Asia Pasifik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata infrastruktur pengangkutan penting bagi meningkatkan hubungan merentasi negara, sekali gus menjadi kunci utama membuka peluang baharu perniagaan.

"Ekonomi membangun di Asia mendapat manfaat besar susulan peluasan pasaran manakala pembentukan rangkaian baharu menggalakkan dagangan antara negara.

"Infrastruktur pengangkutan meluas akan memberi laluan ke arah sektor logistik lebih kukuh sebagai tunjang ekonomi negara.

"Atas dasar itulah, kerajaan Malaysia memberi tumpuan membangunkan sektor logistik Malaysia dan mengembangkan perkongsian logistik dalam negara ASEAN, China dan Asia Pasifik," katanya berucap dalam Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) 2017 di sini, hari ini.

Turut menyampaikan ucapan adalah Pesuruhjaya Kementerian Luar China di Hong Kong, Xia Feng dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Carrie Lam.

Yang turut hadir, Pengerusi WCES dan Ketua Eksekutif Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Dr Michael Yeoh; Pengerusi ASLI, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Pengerusi Bersama WCES yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong, Vincent Lo.

Tiong Lai berkata, Malaysia meletak sasaran membangunkan persekitaran berkesan, produktif dan mesra perniagaan ketika menjadi hab logistik Asia menjelang 2025.

Beliau berkata, Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan baru-baru ini dengan Alibaba Group dan Jack Ma adalah pelengkap perjalanan Malaysia sebagai hab e-dagang yang mampu menggerakkan barangan bernilai AS$65 bilion menjelang tempoh itu.

Katanya, ia juga berupaya meningkatkan eksport barangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada AS$38 bilion, selain mewujudkan lebih 60,000 peluang pekerjaan.

-Berita Harian-