16 Januari 2019

Kenyataan Media Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Lau Chin Kok

Kebebasan suara disekat akibat standard meragukan oleh pihak berkuasa

Bekas ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang memuat naik gambar di Facebook mempersoalkan anak Menteri Kewangan Lim Guan Eng memakai jaket mahal berjenama “Givenchy” semasa penerbangan ke Australia, telah disiasat dua pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang datang ke rumahnya serta mendakwanya menggunakan peralatan komunikasi frekuensi tinggi yang mengganggu isyarat telefon berdekatan. 

Semasa kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands, gambar-gambar seorang wanita memakai baju merah Pakatan Harapan memberi wang kepada Orang Asli menjadi tular di media sosial. Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang malah mengakui Pakatan Harapan ada mengagihkan wang, dan wanita tersebut adalah pekerja sukarelawan DAP. Akan tetapi, SKMM telah menyatakan mahu menyiasat individu yang memuat naik gambar-gambar tersebut.  

Insiden membabitkan Tan Tee Beng ini masih belum berakhir walaupun “peralatan frekuensi tinggi” terbabit dirampas. Beliau kemudiannya dipanggil memberi kenyataan di sebuah balai polis di Putrajaya.

Ini membangkitkan persoalan: Tan Tee Beng hanya memuat naik gambar anak Guan Eng dan mempersoalkan harga jaket yang terlampau mahal. Apakah jenis jenayah yang telah dilakukannya? Kita juga ingin bertanya mengapa tiada tindakan diambil terhadap individu yang mengagihkan wang semasa PRK, tetapi mereka yang mendedahkan amalan rasuah pula disiasat? Apakah standard peguatkuasaan undang-undang yang diamalkan pihak berkuasa di sini?

Mengapakah konsep “Malaysia Baharu” yang didokong Pakatan Harapan asyik mewujudkan ketakutan dalam media sosial, menyekat kebebasan bersuara serta menghalang rakyat memantau tingkah laku kerajaan, terutamanya yang melanggar undang-undang pilihan raya atau yang menunjuk-nunjuk gaya hidup mewah.

Dalam sebuah sistem demokrasi sebenar, kebebasan bersuara juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hanya lapan bulan berlalu sejak pembentukan kerajaan baharu, Pakatan Harapan telah menggunakan segala cara untuk menyekat media dan suara yang menentang mereka. Ini satu pengkhianatan terhadap rakyat!

-MCA online-