Sejak bergelar Adun Bemban, anak jati Bemban ini mempunyai misi membawa membawa Dun itu kepada tahap tertinggi dalam aspek pembangunan dan ekonomi.

Datuk Ng Choon Koon berkata, tiga perkara yang sentiasa menjadi keutamaannya iaitu memastikan hubungan erat bersama masyarakat, membangunkan kawasan kampung dan menstabilkan ekonomi penduduk tanpa mengira warna kulit.

Selepas PRU13, Choon Koon memulakan tugas turun padang melibatkan pemimpin tempatan, wakil Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, Ketua Cawangan MIC, MCA dan Umno.

“Saya konsisten jalankan Ziarah Kasih, kerana ia medium terbaik mendekatkan saya dengan rakyat, memahami keperluan dan masalah mereka.

“Ia sekaligus mewujudkan hubungan baik antara pemimpin dan masyarakat,” katanya.

Memandang serius pembangunan kawasan Dun ini yang sering menjadi kebimbangan penduduk seperti banjir.

“Beberapa kampung di sini terlibat banjir serius seperti di Tehel dan Pondok Kempas.

Walaupun sudah beberapa penggal, tetapi masalah ini belum berjaya diselesaikan.

Menerusi RMK-11, Projek Tebatan Banjir Jasin (RM63 juta) dan Duyong (RM1.63 juta) akan dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini yang mana tempoh pelaksanaan mengambil masa dua ke tiga tahun.

Beliau juga komited memenuhi permintaan penduduk setempat yang mahukan masjid baharu.

“Kita dapat selesaikan dua lagi projek pembangunan masjid di Bemban dan Tehel atas permintaan sejak tahun 2009 yang mana jumlah keseluruhan kedua-duanya menelan RM9.5 juta.

“Pembangunan ini antara matlamat saya untuk memberikan wajah baharu, jika dulu tiada yang tahu di mana Bemban, tapi saya yakin Bemban mampu menjadi tumpuan masyarakat luar dan dalam Melaka,” katanya.

Amat penting bagi Bemban memiliki penduduk padat dalam memastikan kestabilan ekonomi.

“Sehingga kini jumlah penduduk semakin meningkat dengan adanya pembangunan perumahan seperti PPR Tehel, Rumah Mampu Milik, Rumah Penjawat Awam tidak termasuk perumahan swasta.

“Saya jangkakan 2020, projek memanfaatkan rakyat ini mampu membawa Bemban kepada bandar utama di Jasin kerana lebih 20,000 penduduk bakal 'diimport',” katanya.

Disenangi masyarakat Bemban, memandangkan Choon Koon menganggap masyarakat di situ seperti keluarganya.

“Saya terbuka, malah sering meminta tunjuk ajar pemimpin tempatan dan menerima komen atau teguran mereka tanpa mengira status sebagai wakil rakyat,” katanya.

-Sinar Harian-