Demi masa depan negara serta golongan belia, Pemuda MCA bersedia mengetepikan pendirian politik untuk bekerjasama dengan kerajaan berhubung pelaksanaan dasar pengundi dan calon 18 tahun, serta pendaftaran automatik sebagai pengundi.

Pelaksanaan dasar ini adalah mengikut trend sedunia, dan Pemuda MCA sebagai organisasi politik zaman baharu,  walaupun berada di pihak pembangkang  tidak akan berpolitik hanya untuk politik, sebaliknya untuk membina masa depan yang lebih baik untuk negara.

Seseorang belia tetap berdaya fikir untuk menjadi pengundi malah kompeten sebagai seorang wakil rakyat, sekiranya diberi peluang serta bimbingan yang sewajarnya.

Membangkang semata-mata kerana membangkang merupakan pendekatan politik yang sudah lapuk dan tidak berfaedah. Organisasi politi tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, mestilah sanggup mengetepikan perbezaan di antara mereka, dan sanggup mendengar suara hati muda-mudi berdasarkan scenario politik semasa.

Apa yang menyedihkan, ramai ahli politik yang bersuara hanya untuk mendapatkan publisiti, dan kenyataan yang dikeluarkan pula langsung tidak bernas. Ini bukanlah apa yang dimahukan oleh golongan muda zaman sekarang.

Belia berumur 18 tahun mempunyai kematangan untuk membuang undi. Kita yakin mereka juga cukup matang untuk menjadi seorang calon, seterusnya seorang wakil rakyat yang baik apabila menang nanti.

Belia hari ini sudah mampu berdikari dalam menjalani hidup seharian termasuk pergaulan dan lain-lain cabaran. Ramai pemimpin pelajar di institusi pengajian tinggi begitu arif dengan keadaan scenario semasa negara dan antarabangsa. Oleh itu ia tidak akan menjadi masalah sekiranya belia berumur 18 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pengundi dan diberikan hak bertanding, seiring dengan kemajuan negara.

Pemuda MCA telah membuat beberapa cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk meneliti undang-undang yang mengehadkan umur di pelbagai peringkat, untuk tujuan pindaan.

Contohnya, untuk tujuan undi 18 tahun, perlu ditimbangkan untuk menjadikan Sivik dan Pengajian Politik sebagai matapelajaran wajib di sekolah-sekolah, memandangkan Sejarah dan Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah dan menengah hanya mengajar pengetahuan asas tentang politik sahaja.

Pemuda MCA juga berpendapat, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) patut dimansuhkan kerana ia bukan sahaja menghakis autonomi universiti, menghalang kebebasan akademik malah mengongkong kebebasan asasi pelajar-pelajar dengan menghalang mereka daripada kegiatan berpolitik.

Kerajaan juga wajar bersifat terbuka untuk membenarkan pertubuhan politik memasuki kampus-kampus universiti secara bersistematik, bagi berhubung dengan pelajar-pelajar secara terus, terbuka dan saksama.