16 Ogos 2019

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon

'Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai'

Mutakhir ini kita digemparkan dengan beberapa kenyataan dan polemik berkenaan isu perkauman yang diutarakan oleh sesetengah pihak parti. Tindakan seumpama ini telah telah menggali jurang serta mendirikan tembok keegoan di samping menjejaskan semangat muhibah antara kaum rakyat Malaysia. Keadaan ini bertambah teruk setelah campur tangan dan kenyataan sensitif daripada sesetengah pemimpin politik.

Memandangkan budaya rasis kian menular, saya menggesa dan menyeru setiap pihak khususnya pemimpin parti politik bersikap kesederhanaan dengan mempertimbangkan perasaan setiap kaum sebelum mengutarakan sesuatu pandangan. Bukan mudah untuk menyatukan rakyat dan turut membebaskan negara kita daripada cengkaman penjajah asing. Kita harus mengambil iktibar daripada kisah silam, mencontohi kebijaksaan nenek moyang untuk terus menerajui tanah tumpah darah kita ke arah kegemilangan dan keharmonian.

Kita dilahirkan, hidup, membesar di tanah air yang multietnik dan multiagama. Kita sepatutnya saling toleransi dan menghormati pantang larang serta limitasi antara satu sama lain. Walaupun berbeza, kita hidup secara harmoni di bawah bumbung sama bernama Malaysia. Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Saya yakin bahawa setiap anak watan sudi korbankan jiwa dan raga untuk mempertahankan maruah dalam apa jua kemelut yang dihadapi.

Saya sangat setuju dengan kenyataan daripada Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yang menggesa setiap rakyat Malaysia untuk meneruskan usaha kekalkan ukhuwah walaupun terdapat segelintir kelompok yang cuba memecahbelahkan kesejahteraan yang dicapai selama ini.

Malaysia memerlukan lebih ramai  pemimpin yang bersifat lebih kesederhanaan, rasional, dan toleransi terhadap setiap isu yang melibatkan rakyat supaya dapat menerajui negara kita ke arah anjakan paradigma terbilang.

-MCA online-