16 Ogos 2019

Kenyataan Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Dato’ Leong Kim Soon

Wong Tack dan Fuziah patut rasa malu membenarkan Lynas terus beroperasi

Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh usah terus berlakon seolah-olah mereka masih pembangkang, padahal, keputusan membaharui lesen operasi syarikat Lynas Malaysia dibuat kerajaan Pakatan Harapan. Jelas sekali, mereka telah gagal menepati janjinya kepada pengundi.

Namun, kedua-dua pemimpin tersebut masih cuba mengelak tanggungjawab dengan menyalahkan menteri-menteri Pakatan Harapan. Jika 13 menteri yang menandatangani ikrar tutup Lynas pada 2012 gagal membuat demikian, apa lagi yang rakyat boleh harapkan daripada Wong Tack dan Fuziah Salleh yang bukan ahli Kabinet? Akhirnya, ini semua satu wayang sahaja.

Keputusan Kabinet untuk membenarkan Lynas terus beroperasi juga telah membuka pintu kepada sisa-sisa nadir bumi lain, dan ini secara langsung menjejaskan kesihatan dan keselamatan rakyat, dan menyerlahkan lagi kegagalan kerajaan Pakatan Harapan. Janji-janji manis untuk mengumpan pengundi akhirnya dibuang ke tepi sebaik sahaja mencapai agenda politik mereka.    

Demi wang, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain sanggup menipu rakyat. Adakah mereka boleh menjamin bahawa Lynas tidak akan menyebabkan pencemaran alam sekitar pada masa depan? Adakah mereka mampu menjamin bahawa Lynas tidak akan membahayakan kesihatan penduduk berdekatan? Jawapannya, tidak.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan digesa menyediakan laporan statistik penyakit kanser di kalangan penduduk berdekatan kilang Lynas. Ini akan menceritakan keadaan sebenar, dan memastikan bahawa Pakatan Harapan tidak dapat menipu lagi.

-MCA online-