Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, partinya tidak akan melabelkan perpaduan ummah yang dibentuk itu sebagai satu serangan ke atas bukan Islam.

Katanya, apatah lagi mahu menganggap kerjasama tersebut sebagai ‘Taliban’ seperti yang diungkapkan oleh seorang ahli politik daripada kem lawan.

“MCA tidak akan label perpaduan ummah yang dicapai antara Pas dan UMNO sebagai satu serangan ke atas bukan Islam atau ‘Taliban’. MCA akan cuba menjadi penghubung dan pengimbang dalam mengatasi sebarang kemelut politik atau ketidakfahaman politik yang ada,” katanya dalam akaun Facebook beliau semalam.

Bagi pemerhati UMNO, penjelasan MCA itu sesuatu yang positif meskipun sebelum ini timbul khabar angin kononnya MCA akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) kerana dikatakan tidak senang dengan kerjasama UMNO dan Pas.

Dalam kenyataan beliau juga, Lian Ker berkata, MCA akan melibatkan diri dan mengingatkan mereka (UMNO dan Pas) untuk mengambil kira kandungan dan semangat Perlembagaan Persekutuan yang merupakan asas negara dan telah mencipta kedamaian, keharmonian dan kemajuan untuk lebih 60 tahun.

-Utusan online-