16 Oktober 2019

*Kenyataan Media Jurucakap MCA, Sdri Chan Quin Er*

*Peguam Negara digesa tidak merampas kuasa mahkamah – Dakwa suspek kes gangguan seksual tahfiz dengan segera!*

“Tiada Tindakan Lanjut” atas suspek kes gangguan seksual terhadap pelajar tahfiz? Itulah yang dikatakan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Kami pernah dengar ungkapan “Satu Negara, Dua Sistem”, tetapi “Satu Mahkamah, Dua Sistem”? Ini hanya berlaku di Malaysia!

Mengapa dan bagaimana Tommy Thomas boleh campur tangan dalam keputusan Mahkamah Majistret Ipoh yang mendapati bahawa jenayah gangguan seksual telah dilakukan terhadap seorang kanak-kanak di sebuah sekolah tahfiz? Tindakan beliau ini bakal menjejaskan kredibiliti dan kebebasan badan kehakiman dan Jabatan Peguam Negara. Kami menyarankan agar Tommy Thomas untuk membaca balik buku yang ditulis beliau sendiri, “Abuse of Power”, dan elakkan campur tangan dalam kes mahkamah lain kali pada masa depan.   

Majistret Mohammad Afifi Mohammad Deen dilaporkan menolak kes gangguan seksual tersebut, walaupun pada dua bulan sebelum ini, beliau pernah mengesahkan bahawa kejadian tersebut telah berlaku. Ini selepas mahkamah dibekalkan surat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak yang memperincikan arahan daripada Tommy Thomas di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk “memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan”. (The Malay Mail Online, 14 Oktober 2019).

Persoalannya, mengapakah Tommy Thomas menggunakan kuasanya untuk membuat tindakan sedemikian? Tindakan beliau ini seakan menghina keputusan Mahkamah Majistret, siasatan polis dan usaha pendakwa raya. Ia juga memberi gambaran salah bahawa pesalah pedofilia boleh terlepas tindakan undang-undang.  

Adakah pertimbangan politik menjadi punca disebalik tindakan Tommy Thomas susulan kajian yang mendapati bahawa Pakatan Harapan kemungkinan akan kalah di PRK Tanjung Piai?

Oleh itu, Tommy Thomas digesa menjelaskan apa sebab disebalik keputusannya untuk mengarahkan kes tersebut ditolak. Kami berharap beliau dapat memahami trauma yang bakal menghantui mangsa gangguan seksual tersebut seumur hidupnya. Malah, bukan sahaja mangsa yang menderita, tetapi juga ibu bapanya. Ia telah dilaporkan bahawa mangsa tersebut, yang kini berumur 13 tahun, masih menjalani rawatan psikologi di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.

Peguam Negara juga diingatkan supaya menegakkan keadilan, dan melindungi mangsa jenayah, bukannya pesalah, terutamanya dalam kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Janji ke-19 dalam Pakatan Manifesto adalah untuk “Mengembalikan kepercayaan terhadap institusi kehakiman dan perundangan”, namun janji ini nampaknya telah diabaikan Tommy Thomas.

Akhirnya, yang mengalami susah dan menderita adalah kanak-kanak tidak berdosa yang telah menjadi mangsa seorang pesalah pedofilia, dan juga pihak berkuasa, terutamanya badan perundangan, yang mengkhianati kepercayaan mangsa, ibu bapanya, dan rakyat jelata dengan sikap tidak peduli mereka yang enggan mengakui jenayah yang dilakukan pesalah pedofilia tersebut terhadap mangsa-mangsa yang belum mencapai usia akil baligh lagi. 

-MCA online-