Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Kesatuan Eropah (EU) yang dimuktamadkan oleh negara anggota Asean, Singapura dan Vietnam, memberi gesaan kepada Malaysia untuk memuktamadkan perjanjian tersebut, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

Menteri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata cadangan FTA itu tidak mempunyai tempoh masa, bagaimanapun, Malaysia menghadapi cabaran daripada rakan Asean untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan itu.

Singapura dan Vietnam telah memuktamadkan FTA EU mereka manakala Indonesia dalam peringkat rundingan, katanya.

“Kami menghadapi cabaran daripada negara-negara jiran kami dan kami tidak mahu ketinggalan dengan negara-negara anggota Aseam kami, dan ia adalah perkara penting yang kami perlu memuktamadkan (FTA) secepat mungkin,” katanya kepada pemberita pada pelancaran kilang Linde Malaysia Sdn Bhd di sini hari ini.

“Kami mempunyai 8 pusingan rundingan, (perkara mengenai) barang dagangan dan bidang cabaran lain dibincangkan, kecuali yang lain seperti standard dan berkaitan harta intelek. Kami menjangka kami dapat melaluinya dan mengatasinya,” kata Ong.

Beliau berkata kebanyakan isu termasuk isu utama dibincangkan dan Malaysia sedang menunggu masa yang sesuai bagi kedua-dua pemimpin dari Malaysia dan EU untuk mempunyai rundingan akhir sebelum FTA dapat dimuktamadkan.

“Kita perlu sabar, bagi ia menjadi kenyataan,” kata Ong, sambil menambah FTA akan memberi manfaat kepada kedua-dua rantau berikutan barangan tidak dikenakan cukai manakala pelaburan sektor pembuatan akan dapat bergerak bebas antara dua rantau.

-Bernama-