17 Mei 2019

Kenyataan Media Jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan

Satu lagi janji dicapati – Jangan susahkan peminjam PTPTN 

Cadangan memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman PTPTN amat mengejutkan, dan pastinya mengecewakan ramai pengundi yang telah memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada PRU14 lepas.

Sebelum PRU14, majoriti rakyat terpesona dengan janji-janji manis PH, termasuk pelaksanaan pendidikan percuma, sehingga menyebabkan kerajaan BN gagal memenangi sokongan rakyat, walaupun berkali-kali ditekankan bahawa kesemua janji-janji PH hanya janji populis yang sukar dilaksanakan.

Walaupun PH telah memansuhkan larangan ke luar negara sebaik sahaja membentuk kerajaan baharu, malangnya selepas setahun, larangan tersebut dicadangkan semula pelaksanaanya.

Justeru itu kami menggesa kerajaan PH supaya menolak cadangan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan yang dianggap sebagai satu percanggahan janji PH, di samping bakal menyusahkan para peminjam, lebih-lebih lagi kerana kebanyakan mereka berada dalam golongan berpendapatan rendah.

Pusingan U oleh kerajaan PH ini dilihat sebagai langkah terdesak untuk menyelamatkan PTPTN yang dilaporkan terpaksa menanggung hutang RM40 bilion, yang disifatkan lebih besar daripada hutang ditanggung 1MDB.

Ia harus ditekankan bahawa cabaran yang dihadapi PTPTN hari ini berpunca daripada PH sendiri, yang telah menghasut penyokong-penyokongnya supaya tidak membayar balik hutang mereka, malah juga berjanji memansuhkan semua hutang apabila mereka membentuk kerajaan. Ini adalah antara sebab PTPTN merekodkan prestasi bayaran balik pinjaman yang rendah.

Oleh itu, kerajaan PH disaran lebih berusaha memperbaiki kesilapan mereka dengan menggalakkan para peminjam membayar balik hutang melalui penawaran insentif sepertimana yang dilakukan kerajaan BN terdahulu, dan bukannya mengenakan sekatan terhadap peminjam.

Janganlah membebankan mereka lagi dengan larangan tersebut tambahan pula ketika ini timbulnya masalah kekurangan peluang pekerjaan yang disebabkan oleh keadaan ekonomi yang lembap. Keadaan ini sekaligus menyaksikan pelabur-pelabur asing menarik diri atau menutup operasi mereka dalam negara, di samping kegagalan PH sendiri untuk melaksanakan gaji minima RM1,500 sepertimana yang dijanjikan sebelum ini.

-MCA online-