17 Julai 2019

Kenyataan Media Naib Presiden MCA, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker

Tiada pelanggaran undang-undang – Pindahan wang GST dibuat dengan sah dan betul

Pemindahan wang bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke Akaun Hasil Disatukan, dan bukannya Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST, adalah betul dan sah dari segi undang-undang. 

Tindakan tersebut dibenarkan dalam Akta GST 2014, yang menyatakan bahawa: 

“Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk memberi kuasa pembayaran ke Akaun Hasil Disatukan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan”, sepertimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 54(5):

54(1) Suatu kumpulan wang yang dikenali sebagai Kumpulan Wang bagi Pembayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (dalam seksyen ini disebut “Kumpulan Wang”) ditubuhkan yang hendaklah dinyatakan dan digabungkan dalam Jadual Kedua kepada Akta Tatacara Kewangan 1957

54(2) Maka hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan Wang itu amaun cukai yang dipungut di bawah Akta ini sebagaimana yang diberi kuasa oleh Menteri.

54(3) Wang dalam Kumpulan Wang hendaklah digunakan untuk membuat apa-apa pembayaran balik di bawah seksyen 38 dan Bahagian VII.

54(4) Kumpulan Wang itu hendaklah ditadbirkan oleh Akauntan Negara Malaysia.

54(5) Walau apa pun subseksyen (2) dan peruntukan Akta Tatacara Kewangan 1957, Menteri boleh memberi kuasa pembayaran ke dalam Akaun Hasil Disatukan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan bagi semua atau sebahagian daripada wang dalam Kumpulan Wang itu.

Oleh itu, dakwaan “wang dirompak” atau “melanggar undang-undang” hanyalah helah politik Menteri Kewangan dan kerajaan PH yang mempunyai agenda politik sendiri. Wayang politik ini tidak bertanggungjawab dan memberi imej negative terhadap pentadbiran, institusi dan tadbir urus negara kita.  Ia memberi gambaran seolah-olah pegawai kerajaan tidak bermaruah dan akan menurut keinginan dan kemahuan ketua politik mereka tanpa mengendahkan undang-undang. 

Sejurus itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng digesa memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan mengakui bahawa dakwaannya telah meninggalkan kesan yang teruk sehingga menjejaskan ekonomi negara.

Beliau digesa berhenti mencari alasan atas kesilapannya, dan mengakui sahaja bahawa beliau terlepas pandang peruntukan undang-undang yang ditakrifkan dalam Seksyen 54 (1), yang membuktikan tiada pelanggaran undang-undang, dan pentadbiran institusi-institusi negara dibuat secara bersih dan profesional.

Tindakan menuduh tanpa membuat siasatan atau penyelidikan terlebih dahulu telah mencemar nama, institusi dan pentadbiran negara yang sebelum ini dipandang tinggi dan berjaya menarik pelaburan asing, menjaga keyakinan pelabur dan memastikan pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu, kerajaan PH dan menteri-menterinya disaran lebih bertanggungjawab dan mentadbir negara secara berhemah, sepertimana yang dimandatkan oleh rakyat. Sudah tiba masanya mereka berhenti membuat tuduhan tidak berasas, atau membuat kecoh secara berterusan, kerana ini semua tidak memanfaatkan rakyat dan negara.

-MCA online-